nasir othman

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa) selari dengan gesaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa sistem sekolah vernakular di negara ini perlu dihapuskan.

Pengerusi Biro Pendidikan Putra, Nasir Othman berkata, apabila bercakap mengenai sekolah itu ia tidak boleh dikaitkan isu perkauman, sebaliknya lebih kepada kepentingan rakyat dalam membina negara berbilang kaum tanpa prejudis, rasis dan fasis.

Putra kecewa kerana pemimpin dan kerajaan tidak ada kesungguhan atau keberanian politik bagi melaksanakan Dasar Nasional, melainkan cakap-cakap retorik.

“Selama ini, kita lihat sistem dan amalan pendidikan di Malaysia langsung tidak mencerminkan identiti kebangsaan.

“Sentimen perkauman masih menebal walaupun sudah 66 tahun merdeka akibat daripada kesan penjajahan dan amalan sistem pendidikan sekular sehingga negara menghadapi isu perpaduan serta integrasi nasional.

“Dari segi hala tujunya pula kita merasakan masih bercelaru tanpa matlamat jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu lalu, dalam sesi soal jawab di Putrajaya, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, tindakan menghapuskan sekolah vernakular itu adalah cara terbaik untuk merapatkan jurang antara kaum melalui pendidikan.

Kata beliau, cara terbaik ialah melalui pendidikan dengan menghapuskan sekolah vernakular yang diamalkan sekarang.

Menurut Nasir, Dasar Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara hanya cantik sebagai satu dokumen sedangkan pelaksanaan serta amalannya jauh menyimpang daripada menepati piawaian ditetapkan.

Seharusnya, kata beliau, selepas 10 tahun mencapai kemerdekaan iaitu 56 tahun yang lalu, sekolah vernakular yang dibenarkan zaman penjajah perlu diserapkan kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan.

“Atas sebab kepentingan politik toleransi, apologetik dan baik hati untuk memancing undi, prinsip kenegaraan dan perlembagaan dinodai parti pemerintah sehingga ianya tergadai.

“Malaysia sudah merdeka 66 tahun, tetapi sistem pendidikan masih lagi tidak boleh mengikut satu aliran sehingga mengenepikan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan.

“Dasar Pendidikan Kebangsaan hanya murni sebagai kitab suci yang didokumenkan dan dipatuhi di Sekolah Kebangsaan (SK) sahaja, malah ada pihak dibenarkan membuka sekolah menggunakan bahasa ibunda sendiri serta mendapat suntikan dana dari kerajaan walaupun secara moral salah kerana bertentangan dengan perlembagaan,” katanya.

Jelas beliau lagi, sememangnya sekarang ini Malaysia sudah melaksanakan sistem pendidikan satu aliran dan satu bahasa atas kepentingan kebangsaan.

Kata Nasir, sekian lama merdeka pun masih wujud isu perpaduan kaum, rasis dan diskriminasi di kalangan rakyat berbilang bangsa disebabkan sejak kanak-kanak lagi mereka diasingkan dengan sekolah swasta yang menggunakan silibus diimport dari Taiwan dan bahasa ibunda masing-masing.

“Sektor swasta yang dikuasai kaum Cina lebih mengutamakan bahasa Mandarin sebagai syarat bekerja di syarikat mereka. Dalam iklan kerja, mereka mengutamakan penguasaan Mandarin untuk mengisi jawatan. Ini satu bentuk diskriminasi bersifat perkauman dan menyukarkan lagi proses integrasi nasional serta memupuk perpaduan.

“Keegoan kaum minoriti yang menguasai ekonomi negara merasa bangga sebagai kaum berjaya dan beranggapan perlu kekalkan identiti asal mereka,” ujarnya.

Kini, kata beliau, mereka berjaya menguasai politik melalui dominasi dan proksi yang bercita-cita untuk menukarkan Malaysia mengikut citarasa sendiri.

Usaha juga, dakwanya, dilakukan untuk memadamkan sejarah Tanah Melayu dan mengenepikan Bangsa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Bukan itu sahaja, mereka juga cuba menerapkan budayanya ke SK seperti Tahun Baru Cina dan Ponggal ketika berkuasa 22 bulan sebelum ini.

“Mereka menentang sembelihan korban di sekolah sedangkan korban itu adalah ajaran yang terdapat dalam silibus agama Islam.

“Selain itu, mereka menentang tulisan Jawi iaitu abjad yang digunakan dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Beliau turut memberi contoh, modul 40 Hadis Imam Al-Nawawi yang akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kerajaan Agama (SMKA) walaupun tidak melibatkan pelajar bukan Islam, ditentang habis-habisan.

“Sistem Pendidikan Negara banyak dicemari gangguan politik bersifat perkauman, diskriminasi dan benci. Sikap toleransi, apologetik dan baik hati bangsa Melayu demi menjaga kepentingan politik atas nama perpaduan kaum tidak berani menegak kebenaran serta keadilan walaupun ada yang bertentangan dengan Perlembagaan.

“Kegagalan mewujudkan satu sistem pendidikan yang mantap membina negara bangsa berbilang kaum dan agama tidak mungkin mewujudkan patriotism di kalangan rakyat terhadap negara.

“Kesan pengasingan sekolah mengikut kaum ini adalah punca masih wujudnya isu perpaduan, patriotik, perkauman, diskriminasi dan prejudis yang sangat membimbangkan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast