KUANTAN – Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Ab Rahman akan dilantik Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-22 tidak lama lagi.
Ia disahkan sendiri oleh PAT sekarang, Tan Sri Affendi Buang yang bakal bersara wajib tidak lama lagi.
“Penyerahan tugas pada 6 September nanti bakal merekodkan tempoh hampir 44 tahun pengabdian saya di dalam Tentera Udara Malaysia (TUDM) khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya,” kata Affendi.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Istiadat Perbarisan Penghargaan PAT Ke-21 yang diadakan di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.
Seramai 63 pegawai dan 723 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan TUDM terbabit dalam Istiadat penuh gilang gemilang itu.
Difahamkan Affendi secara rasmi akan menamatkan perkhidmatannya pada Februari 2024.
Dalam ucapannya, Affendi yang merupakan PAT kedua dalam sejarah dalam kalangan pegawai kanan TUDM turut mengingatkan anggota ATM agar memastikan integriti dan disiplin diri dipelihara, demi nama baik dan imej angkatan itu.
“Reputasi dan prestasi cemerlang ini sangat penting untuk mencetuskan kepercayaan mutlak pihak berkepentingan, dalam membuat anjakan keutamaan ke arah pembangunan ATM.
“Matlamat ini harus dicapai jika kita ingin keluar daripada kepompong-serba-kekurangan dalam merealisasikan reformasi Angkatan Masa Hadapan yang telah dipersetujui secara bersama,” ucapnya lagi.
Dalam istiadat hari ini juga, sebanyak 15 Panji-Panji dari ketiga-tiga perkhidmatan ketenteraan telah dibawa berarak di dalam perbarisan penghargaan ini.
Tujuh panji-panji daripada TDM masing-masing daripada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Rejimen Artileri Diraja (RAD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD).
Manakala empat daripada TLDM melibatkan Panji-Panji daripada Kapal Diraja (KD) Duyung, KD Rajawali, KD Panglima Hitam dan Skuadron Frigate Ke-23.
Panji-Panji dari TUDM pula adalah daripada Rejimen N0 12 Skuadron, No 15 Skuadron dan No 16 Skuadron.
Dalam pada itu, sebanyak empat pesawat helikopter terlibat dalam terbang lintas hormat dengan dua Helikopter EC 725 AP membawa Bendera ATM dan Bendera TUDM serta sebuah Helikopter Agusta A109 LOH milik TDM membawa Bendera TDM dan sebuah Helikopter AW139 milik TLDM membawa Bendera TLDM.
Di samping itu, pesawat lain milik TUDM turut mengiringi perbarisan semasa perlahan jalan dan cepat jalan iaitu melibatkan Pesawat Latihan iaitu PC 7 MKII, Pesawat Pengangkut iaitu C130H dan A400M serta Pesawat Pejuang yang terdiri daripada Sukhoi SU-30MKM, Hawk dan F/A-18D.
Turut diraikan bersama adalah isteri beliau, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Tengku Muhaini Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang juga Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM.
Istiadat tersebut diakhiri dengan keberangkatan pulang Affendi dan isteri yang diarak menaiki pesawat TUDM MiG-29, sebagai simbolik beliau yang merupakan pengasas pasukan aerobatik taktikal dikenali sebagai Smokey Bandit.- MalaysiaGazette