KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani diminta berhenti daripada berterusan menjaja fitnah ke atasnya berhubung aset Tabung Haji (TH).
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengingatkan peguamnya akan meneliti setiap kata-kata Ahmad Dusuki selepas kalah saman baru-baru ini.
Beliau dan peguamnya akan bertindak dengan penuh amanah demi memelihara kemuliaan TH walaupun Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah memutuskan tiada aset agensi itu dijual kepada bukan Islam sebagaimana didakwa bekas pimpinan Pas itu.
“Saya mengikuti perkembangan Ahmad Dusuki yang kalah saman kepada saya dalam kes aset TH dijual kepada bukan Islam. Tetapi, beliau meneruskan fitnah ini walaupun setelah dua mahkamah telah memutuskan dakwaan itu tidak benar.
“Ahmad Dusuki juga gagal menggunakan satu lagi ruang rayuan di Mahkamah Putrajaya apabila menarik balik rayuannya pada 28 Ogos lalu.
“Sepatutnya ketidakpuasan hatinya kepada keputusan dua mahkamah berkenaan didengarkan dan dihujahkan di hadapan Mahkamah Putrajaya yang akan diadili oleh tiga hakim,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Ahmad Dusuki mengemukakan saman ke atas Dr. Mujahid susulan ciapannya: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan.”
Dalam kes berkenaan, Ahmad Dusuki menuntut Dr. Mujahid supaya membuat permohonan maaf serta ganti rugi.
Bagaimanapun, saman fitnah yang dikemukakan Ahmad Dusuki ditolak oleh kedua-dua Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Tinggi.
Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, Ahmad Dusuki telah menarik diri atas kerelaan sendiri tetapi memilih untuk meneruskan fitnah ke atas TH di pentas politik dan media sosial.
Ujar beliau, kebanyakan hujahnya telahpun didengari di bilik perbicaraan dan dijawab serta diperiksa balas semua jawapan oleh peguam beliau dan peguamnya di hadapan hakim.
Mujahid turut mengingatkan pendakwah bebas itu dengan satu hadis Nabi Muhammad SAW dari Anas bin Malik bahawa ‘fitnah itu tidur maka laknatlah mereka yang menggerakkannya’.
“Berhenti dari menjaja fitnah dan hormat sedikit keputusan mahkamah yang kekal menolak samannya ke atas saya yang telah mempertahankan aset TH tidak dijual kepada bukan Islam.
“Hormatilah umat Islam dan pendeposit daripada menjadi mangsa fitnah orang ini. Apa motif beliau? Saya harap beliau noktahkan isu ini dan mari bersama membangunkan umat Islam menjauhi diri dari budaya fitnah,” ujarnya. – MalaysiaGazette