KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman rasa berdosa jika hanya berdiam diri berkaitan keputusan membebaskan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan mahkamah.
Ahli Parlimen Muar itu mendakwa, keputusan membebaskan Ahmad Zahid memberi petanda rasuah telah dinormalisasikan.
“Sebelum pilihan raya kata tak akan jadi perdana menteri yang tunduk kepada perasuah. Lepas pilihan raya bukan sahaja tunduk dengan perasuah tetapi menormalisasikan rasuah.
“Mula dengan penangguhan kes selepas itu mohon gugurkan kes. Timbalan Pendakwa Raya ditukar pada saat saat terakhir.
“Hari ini satu Malaysia dikejutkan dengan berita kesemua 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri dilepaskan,” ciap beliau di Twitter.
Beliau berkata, pihak mahkamah atau hakim tidak seharusnya dipersalahkan dalam pembebasan Ahmad Zahid daripada pertuduhan.
Ini kerana keputusan membebaskan Timbalan perdana Menteri dilakukan oleh pihak pendakwaan.
“Empat tahun perbicaraan tiba-tiba gugurkan kes pada saat yang terakhir. Dulu lawan rasuah, kini normalisasi rasuah.
“Dulu kata nak reformasi, kini reformasi dibelakang. Dulu kata nak perjuangkan rakyat, kini mengkhianati rakyat.
“Tak rasa malu ke , dulu cakap lain, kini buat lain demi pangkat, jawatan, kuasa,” katanya.
Menurut Syed Saddiq, MUDA akan membuat mesyuarat tergempar mengenai isu tersebut.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri itu daripada 47 kes berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas pendakwaan memohon untuk menghentikan kes, berdasarkan 11 alasan.
Ini antaranya menyentuh isu-isu dalam buku memoir bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’.
Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.
Presiden UMNO ini dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.-MalaysiaGazette
Ko sakau duit tak rasa berdosa kaa musibat?