Gambar daripada video yang menunjukkan seorang pengadil yang sedang mengendalikan perlawanan futsal di sebuah pusat sukan sebelum dibelasah dengan serangan ala 'Muay Thai' oleh seorang pemain.

KUALA LUMPUR – Seorang pemain futsal bakal berdepan hukuman selepas dikatakan membelasah pengadil perlawanan dengan serangan ala Muay Thai di Kompleks Sukan, Ara Damansara, Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan laporan kejadian telah dibuat mangsa iaitu seorang lelaki berusia 40-an pada pukul 12.12 tengah malam Khamis lalu.

“Kejadian dikatakan berlaku di sebuah pusat sukan pada 9.45 malam, 29 Ogos. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, suspek yang terbabit dalam kejadian itu sudah dikenal pasti dan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu, tular sebuah video menunjukkan seorang pengadil yang sedang mengendalikan perlawanan futsal di sebuah pusat sukan sebelum dibelasah dengan serangan ala Muay Thai oleh seorang pemain.

Lebih menyedihkan kejadian terbabit disaksikan sendiri seorang wanita dipercayai isteri kepada pengadil berkenaan sebelum dia berkongsi insiden itu di media sosial.

Wanita terbabit yang menerusi akaun Nnies Adniza juga berkongsi klip video berdurasi 13 saat yang memaparkan pengadil futsal melayangkan kad merah kepada seorang penjaga gol selepas dia dilihat melakukan kekasaran yang membahayakan pemain lawan.

Secara tiba-tiba seorang pemain ‘naik hantu’ sebelum meluru masuk dan melompat serta melakukan serangan ala Muay Thai dengan menggunakan lutut di bahagian belakang badan pengadil berkenaan.

Dalam hantaran sama, Nnies turut menjelaskan, individu tersebut membuat permohonan maaf dengan alasan tidak dapat mengawal emosi ketika kejadian.- MalaysiaGazette