KUALA LUMPUR – Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (JFC) hari ini menafikan dakwaan bungkusan beras yang dibuka dalam penularan video di media sosial baru-baru ini merupakan beras tempatan.
Sebaliknya, ia adalah beras putih import (BPI).
JFC dalam kenyataannya berkata, syarikat itu memandang serius penularan video tersebut dan dakwaan beras tempatan telah dibungkus semula untuk ditukar menjadi beras import.
Namun, JFC mengesahkan video yang tular telah dirakam di dalam kilang Jasmine di Tunjang, Alor Setar, Kedah pada 2 September 2023 iaitu Sabtu lalu.
Jelasnya, pembungkusan semula BPI merupakan satu proses normal apabila berlaku kejadian kampit pecah atau beras berhabuk sewaktu kampit beras berada di kedai dan pasar raya.
Proses ini dibuat untuk memastikan kualiti beras keluaran JFC sentiasa berada di dalam keadaan yang baik sewaktu dibeli oleh pelanggan kami.
“JFC mengamalkan polisi gantian semula kepada pemborong bagi beras-beras yang tidak menepati kualiti dan mengikut piawaiaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Oleh itu, orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kekeliruan.
Pihak JFC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba memburukkan nama baik syarikat, ujarnya. – MalaysiaGazette