KUANTAN – Cadangan menamakan Mossy Forest di Cameron Highlands sebagai tapak rizab biosfera kedua di Pahang akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri telah pun meminta Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyediakan kertas permohonan bagi tujuan terbabit.
“Saya fikir dalam masa terdekat kertas tersebut akan dibawa kepada Exco dan insya-Allah kalau tidak ada apa-apa kita akan luluskan kertas tersebut. Maknanya usaha kita ini berterusan, bukan terhenti setakat itu sahaja.
“Dalam tempoh tiga minggu (jangkaan kertas cadangan diangkat kepada Exco) mungkin paling lewat lah tu, mungkin dalam masa seminggu bergantung kepada pihak JPNP tapi paling lewat, kita dah bagitahu kepada Pengarah (JPNP) tiga minggu daripada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka, Jerantut dan Majlis Meraikan Pengekalan Man and Biosphere (MAB) UNESCO Tasik Chini di Hotel Swiss-Belhotel, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy meluahkan perasaan lega dan gembira dengan pengiktirafan semula Rizab Biosfera Tasik Chini oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
“Saya dapat melihat dengan mata saya sendiri semasa saya mula-mula mendapat rungutan dari masyarakat mengatakan Tasik Chini telah musnah, boleh dikatakan 80 peratus hanya tanah sahaja, tiada rumput.
“Sekarang boleh dikatakan 80 peratus kawasan sudah ditumbuhi rumput dan saya sangat berpuas hati. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak terlibat dan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk memulihkannya kembali dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.
Tambah beliau, pemuliharaan Tasik Chini adalah proses yang berterusan dan tiada istilah penetapan tempoh tertentu untuk mengklasifikasikan ia sebagai pulih sepenuhnya.
“Tidak ada tetapan tempoh contohnya Januari 2024. Ia akan berterusan dan kita akan sentiasa tambah baik. Dah cantik nanti pun kita akan tambah cantik lagi,” ulas beliau.
Tasik Chini merupakan tapak rizab biosfera pertama negara yang mendapat pengiktirafan pada tahun 2009 dan nyaris kehilangan status tersebut berikutan ancaman aktiviti perlombongan dan pembalakan yang tidak terkawal.
Namun, status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini diperoleh semula semasa Mesyuarat International Coordinating Council of the 35th Session of the International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB35) pada 13 Jun lalu di Paris setelah menepati kriteria Statutory Framework of the World Network of Biosphere Reserves (WNBR). – MalaysiaGazette