Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

KOTA BHARU – Polis menahan tiga lelaki bersama 30,006 biji pil yaba bernilai RM330,066 dalam Op Tapis Bersepadu di tepi jalan di hadapan Tanah Perkuburan Islam, Kubur Surau Mukim Jal Kechil, Tumpat semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketiga-tiga suspek berumur antara 20 hingga 27 tahun itu ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta jenis perodua Myvi di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit menjumpai satu peket plastik cerah berisi enam biji pil disyaki dadah jenis yaba.

“Susulan itu, suspek telah membawa anggota polis ke sebuah rumah di Kampung Binjal Cabang Empat, Tumpat dan pemeriksaan lanjut di ruang tamu menjumpai satu bungkus plastik hitam di bawah meja yang mengandungi 30,000 pil yaba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 11 Sept untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita turut menyita dua motosikal jenis Yamaha Y15 bernilai RM16,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Zaki berkata, polis Kelantan merampas pelbagai dadah bernilai RM521,497.76 serta menyita harta bernilai RM479,326.40 dalam Op Tapis Bersepadu yang dijalankan mulai 20 Ogos hingga semalam.

“Sebanyak 602 orang berumur 16 hingga 63 tahun telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya. – Bernama