KUANTAN – Kerajaan Pahang sedia mempertimbang untuk menambah landasan lapangan terbang sedia ada di Pulau Tioman sebagai alternatif kepada cadangan pembinaan lapangan terbang baharu.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan ambil maklum dengan bantahan yang disuarakan penduduk yang tidak bersetuju dengan projek pembinaan lapangan terbang baharu itu.
“Jadi sebagai alternatif, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah kepanjangan landasan lagi 500 meter kepada 850 meter landasan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Johari Harun (Tioman – BN) dalam sidang DUN di sini hari ini.
Johari sebelum itu mengajukan soalan berkaitan status cadangan Projek Lapangan Terbang Pulau Tioman sebelum bertanya tentang perancangan alternatif pihak kerajaan negeri berkaitan projek itu.
“Sekiranya terdapat kekangan berkenaan pembinaannya, adakah pihak kerajaan ada alternatif untuk memanjangkan landasan, mungkin kepada 1.5 kilometer?
“Sekurang-kurangnya kapal terbang lebih besar boleh mendarat yang boleh bawa lebih ramai penumpang,” katanya.
Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman baru telah menerima bantahan hebat penduduk setempat dan pencinta alam sekitar kerana diwartakan sebagai taman laut yang mempunyai hutan hujan masih asli.
Faktor lain adalah kewujudan banyak terumbu karang di pulau itu dan habitat pelbagai spesies hidupan liar dengan sekurang-kurangnya 61 peratus daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar.
Difahamkan, cadangan pembangunan Projek Lapangan Terbang Pulau Tioman telah diluluskan secara dasar melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) ke-32/2017 di atas tanah kerajaan seluas 277.50 ekar di Pulau Tioman, Daerah Rompin.
Namun difahamkan projek pembangunan itu masih tertakluk kepada pematuhan kepada 14 kajian, ulasan dan nasihat sebagaimana yang diputuskan oleh MPFN melalui Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Bil.3/2020 pada 27 Oktober 2020.
Bagaimanapun, pada 9 Ogos lalu, media melaporkan Mesyuarat Jemaah Menteri secara dasar telah bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan lapangan terbang di pulau itu. – MalaysiaGazette