Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Semalam merupakan hari bersejarah bagi kerajaan Madani apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan kes pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, keputusan itu sama seperti Presiden UMNO sudah dibebaskan daripada semua pertuduhan seelpas perbicaraannya telah mengambil masa begitu lama.

“Keputusan ini umpama mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Malah, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mengendalikan kes itu juga menyifatkan sebagai membuang masa.

“Lebih melucukan apabila ada kalangan pemimpin UMNO menyatakan pertuduhan ke atas presiden mereka itu sebagai konspirasi politik atau pendakwaan terpilih, maka sebab itu Ahmad Zahid wajar dibebaskan.

“Ini berbeza kes dihadapi (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dulu yang juga dikatakan konspirasi politik tetapi selepas perbicaraan beliau didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa Jabatan Peguam Negara mahu memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Ibrahim yang melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu berkata, rule of law di Malaysia hanya untuk rakyat biasa manakala orang politik tidak kira dari mana-mana parti jika didakwa akan mengatakan pendakwaan politik dan mangsa konspirasi.

“Sangat memalukan. Di mana letaknya Keluhuran Undang-Undang dan Perlembagaan Negara? Seolah orang politik di negara ini kebal daripada sebarang pendakwaan.

“Apabila seseorang didakwa berdasarkan kepada fakta kes, kalau sudah didapati ada prima facie, maka pendakwaannya adalah betul dan sahih tetapi masih lagi nak guna alasan konspirasi politik,” katanya.

Beliau berkata, apabila Ahmad Zahid dibebaskan maka selamatlah kedudukan Anwar selaku Perdana Menteri sehingga tamat penggal PRU15 tahun 2027.

Begitu juga, katanya, kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri turut selamat bagi tempoh ini.

“Apa pun saya sedang menunggu jawapan atau komen daripada veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mengenai kes ini. Apakah beliau dan DAP turut teruja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast