Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Perdana Menteri mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kerosakan yang sedang berlaku dalam sistem keadilan negara.

Jelasnya, slogan reformasi institusi yang dicanang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mula-mula memimpin negara juga merupakan satu pembohongan kepada rakyat.

“Slogan reformasi institusi dan tata kelola yang sering beliau dilaungkan hanyalah suatu pembohongan dan omongan kosong sahaja.

“Keputusan menggugurkan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu pastinya menggoncang keyakinan pelabur terhadap sistem keadilan di Malaysia.

“Sudahlah seorang yang berhadapan tuduhan jenayah rasuah dilantik ke jawatan nombor dua tertinggi negara malah pertuduhan ke atasnya juga digugurkan. Malaysia telah menjadi a rogue state atau negara penyangak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin mengulas keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Terdahulu Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi kesemua pertuduhan.

Antara alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga berkata, tindakan Peguam Negara menggunakan kuasanya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk menarik balik 47 pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Zahid Hamidi adalah sesuatu yang tidak bermoral.

Muhyididn berkata, dalam kes ini, Ahmad Zahid telah didakwa di mahkamah dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie dengan mengemukakan keterangan berdokumen dan 99 orang saksi.

“Ini bermakna mahkamah telah berpuashati bahawa terdapat bukti-bukti yang berasas tentang perlakuan jenayah tersebut oleh Zahid dan mengarahkan beliau untuk membela diri.

“Yang peliknya pihak pendakwaan yang telah berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan. Ini amatlah tidak munasabah.

“Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai? Atau ada arahan daripada pihak atasan bahawa kes ini mesti digugurkan walau dengan apa cara sekali pun.

“Sekiranya benar terdapat arahan sedemikian, pengguguran pertuduhan ke atas Zahid selepas beliau diarah membela diri di mahkamah merupakan titik hitam yang amat gelap dalam sistem keadilan di negara kita.

“Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia yang merdeka sebelum ini,” jelas Muhyiddin lagi.

Awal hari ini, rakan gabungan Kerajaan Perpaduan, DAP berpandangan Peguam Negara wajar memberikan penjelasan terbuka susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berpandangan Idrus wajar memberikan penjelasan terbuka susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sitem keadilan rosak? Sistem keadilan rosak kerana orang orang seperti kamu yang telah mrrancang dan membuat pendakwaan terpilih.
    Sistem keadilan akan jadi baik hanya setelah orang orang macam kamu dan sekutu dibicarakan dan disumbat ke penjara. Menyampah rakyat tengok muka kamu dan mulut berbau bangkai. GERAM AKU. AMIK KAU

Comments are closed.