Amir muncul dengan album solo pertama berjudul Amir Masdi.

KUALA LUMPUR – Selepas melancarkan album solo pertama berjudul Amir Masdi, penyanyi yang mendapat jolokan rockstar itu sekali lagi melakar sejarah tersendiri.

Beliau bakal mengadakan siri jelajah di Hard Rock Cafe, Melaka pada 15 September ini.

Bagai bulan jatuh ke riba, Amir, 27, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi menyifatkan penganjuran siri jelajah album Amir Masdi itu satu daripada impiannya.

Projek itu juga adalah bonus kepada penerbitan album terbabit yang memuatkan 12 lagu selain berharap ia dapat dilaksanakan di seluruh tanah air.

“Untuk album tour ini memang menjadi impian saya. Kalau ada album sahaja saya belum betul-betul puas, tapi kalau dapat buat ‘album tour’ satu Malaysia itu adalah bonus untuk projek ini.

“Saya sangat gembira dan bersyukur apabila dapat menjayakanya di lokasi pertama di Hard Rock Cafe, Melaka. Kalau tanya penyanyi lain lokasi itu sangat baik sekiranya mahu
membuat persembahan.

“Kalau ikutkan memang risikonya agak tinggi sebab ada tiket dan perlu pergi banyak lokasi. Tapi, saya tengok ramai peminat yang minta untuk buat showcase dan kalau saya buat di tempat yang sama nanti orang akan bosan. Jadi, saya dengan pihak pengurusan buat album tour supaya dapat menjual album ini ke seluruh negara,” katanya.

Berkongsi lanjut, Amir yang juga calon Top 5 bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-35 baru-baru ini bakal menyanyikan kesemua lagu daripada album itu.

Malah Amir yakin dengan tawaran harga tiket yang mampu milik membolehkan peminatnya hadir untuk sama-sama menikmati persembahan bertaraf kelas A.

“Ini juga adalah projek yang bangus sebab saya dapat berjumpa dengan peminat dari pelbagai negeri di Malaysia. Dalam perancangan, kami mahu jayakan di sebanyak lokasi yang mampu. Kalau boleh memang nak buat di setiap negeri tapi itu akan diuruskan kemudian,” ujarnya.

Pada persembahan nanti, kesemua 12 lagu daripada album itu akan dinyanyikan termasuk beberapa lagu cover.

Siri jelajah album Amir Masd di Hard Rock Café, Melaka pada 15 September ini.

“Tiket sudah mula dijual minggu lalu dan terhad kira-kira 1,000 orang di Hard Rock Café Melaka. Tapi, peringkat awal tiket akan dijual sebanyak 300 dahulu.

“Kalau ada sambutan lagi700 akan dibuka. Harga tiket bermula dengan RM100. Penonton akan dapat tiket fizikal dan gelang tangan. Cenderahati dan album fizikal akan dijual nanti. Mereka yang masuk dengan tiket boleh beli cenderahati itu,” katanya.

Dalam masa sama, Amir dengan bangganya berkongsi yang album pertamanya itu sudah habis terjual dan proses cetakan kedua sedang rancak dibuat. – MalaysiaGazette