Pihak bomba cuba membantu mengeluarkan mangsa tersepit di Kilometer 39.9 Jalan Muar-Tangkak-Segamat hari ini.

TANGKAK – Dua sahabat maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 39.9 Jalan Muar-Tangkak-Segamat di sini hari ini.

Nahas dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi dinaiki dua lelaki dari arah Tangkak termasuk ke laluan bertentangan akibat pemandunya yang mengantuk.

Kereta itu kemudiannya bertembung dengan lori treler dari arah bertentangan.

Nahas dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi dinaiki 2 lelaki berkenaan dari arah Tangkak termasuk ke laluan bertentangan.

 

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi tadi.

Kedua-dua mangsa yang maut adalah pelajar dan masing-masing berusia 24 dan 25 tahun yang beralamat di Kampung Paya Merah dan Taman Wawasan, Labis.

Akibat dari kemalangan itu, pemandu serta penumpang kereta telah disahkan maut di lokasi kerana kecederaan parah di muka dan kepala manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan

Siasatan polis mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus dua hala dalam keadaan cuaca baik dan berlaku pada waktu awal pagi.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tangkak untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987. – MalaysiaGazette