JOHOR BAHRU – Kewujudan Johor Area Rehabilitation Organisation (JARO) bukan sahaja memberi latihan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mendapatkan latihan sesuai.
Ia juga memberi kelebihan kepada golongan itu untuk menunjukkan bakat dan memberi ruang untuk menunjukkan kemahiran yang ada.
Pengurus Besar JARO, Josep Roy Arputham berkata, JARO merupakan antara Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) paling lama di negeri itu sejak 1952 dan dijadikan pusat pesakit Tibi sebelum dijaddikan pusat pemulihan golongan OKU sekitar 70-an.
Beliau berkata, fungsi JARO sendiri adalah untuk memberi latihan dan pemulihan kepada golongan itu dengan latihan yang disediakan seperti menjahit, latihan penjilidan buku dan menganyam rotan.
“Cara pemulihan ialah memberi latihan mereka dalam kraftangan dan mereka akan dating ke sini setiap hari daripada Isnin sehingga Ahad untuk mereka menjalani Latihan di JARO.
“Bagaimanapun selepas mereka menjalankan latihan di sini dalam tempoh yang kami tetapkan kita menggalakkan OKU ini untuk mencari peluang pekerjaan di luar pula supaya mereka lebih berdikari dan jika mereka perlukan bantuan kami akan bantu.
“Sementara mereka tunggu keputusan mereka teruskan jalani di sini sambal membuat produk kraf tangan,” katanya ketika ditemui di JARO hari ini.
Bagaimanapun, jelas Joseph, kebanyakan mereka lebih selesa untuk terus bekerja di situ selepas tamat latihan.
Setakat ini, seramai 40 OKU mendapatkan latihan di JARO dengan bantuan lapan pelatih yang juga merupakan pelatih yang telah lama bekerja di pusat yang sama.
Sementara itu, Jailani Mohammad, 62, yang cacat anggota kaki memberitahu, dia telah berkhidmat lebih 20 tahun bersama JARO.
JARO banyak memberi ruang untuk insan seperti beliau mempelajari ilmu yang sesuai dengan kemampuan dirinya.
“Orang macam kami (OKU) yang penting perlu kuat semangat dan keyakinan baru boleh buat, kalau kedua-dua itu tiada memang kita tidak boleh buat,” jelasnya.
Bagi Rahmat Arsat, 65, pula yang juga cacat anggota merupakan OKU paling lama berkhidmat di situ dan menyifatkan insan kerdil sepertinya juga mampu melakukan kerja sama seperti insan normal.
Beliau yang telah bekerja di JARO selama 40 tahun di bahagian penjilidan buku berkata, selain semangat yang kental, minat juga perlu ada dalam diri mereka untuk terus kekal berkhidmat.
“Syukur ada JARO, sebab JARO banyak saya belajar dan kalau nak cerita bab susah memang ada kerana kita ada kekurangan. Tetapi kita perlu kuat.
“Sama seperti insan lain, kami pun boleh lakukan, cuma pergerakan kami sahaja sedikit terbatas dan agak lambat,” katanya.
Bagi pengunjung yang kali pertama ke situ seperti Natasha Farhana Rohaizat, ia sudah tentu membuatnya teruja melihat produk yang dihasilkan orang OKU.
Selain menghasilkan produk yang teliti, beliau tidak menyangka kesemua hasil produk yang ada di situ keluaran OKU.
“Ini kali pertama saya datang ke JARO dan ini membuat saya terkejut kerana barang yang dihasilkan sangat berkualiti. Tujuan saya datang sebenarnya nak lihat cenderahati untuk syarikat.
“Kawan beritahu dan barang dia menarik sebab banyak barang dia macam tradisional dan banyak yang susah nak cari sekarang dan istimewanya dia dihasilkan oleh OKU dan lepas itu kalau di luar memang kita tidak jumpa.
“Kualiti dia tiada beza seperti orang normal macam biasa,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Rofidah Azman berkata, bakat dan hasil OKU perlu dihargai dengan cara membantu membeli produk yang dihasilkan.
Katanya, kewujudan JARO juga diakui membuka mata masyarakat yang golongan itu juga mampu melakukan kerja sama seperti insan lain.
“Tempat ini bila saya sampai sangat cantik dan yang nak datang dengan keluarga pun selesa dan bila masuk di ruang pameran nampak barang yang kualiti sangat bagus. Selain itu persekitarannya sangat bagus dan bersih sangat. Kita nak tengok barang pun ambil masa kerana selesa.
“Bila tengok kualiti barang yang dikeluarkan dan tengok dengan barangan tempat lain memang tidak boleh dibandingkan sesetengah produk di sini dibuat dengan sangat teliti,” katanya. -MalaysiaGazette