Syed Saddiq rasuah
Atyrah Hanim Razali.- Foto FAREEZ FADZIL, 21 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa diadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan keputusan membebas tanpa melepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamdi daripada 47 pertuduhan.

Naib Ketua AMK, Atyrah Hanim Razali berkata, satu tempoh masa juga perlu diberikan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mencari bukti baharu bagi mendakwa semula Ahmad Zahid.

“Pendakwaan semula perlulah dilakukan dalam kadar serta-merta jika sekalian pimpinan Kerajaan Perpaduan tidak mahu kehilangan kredibiliti yang kelak akan menyukarkan lagi pentadbiran Malaysia Madani.

“Terutama kes prima facie telah pun berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan sebelumnya.

“Tidak dinafikan mehnah kerajaan perpaduan campuran adalah besar namun kita tidak boleh kehilangan identiti dan perjuangan berdekad-dekad lamanya apabila berada di puncak kuasa jika kita tidak mahu terus-terusan dihukum rakyat pada masa sekarang dan dasawarsa seterusnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Atyrah Hanim, AMK percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak campur tangan terhadap kuasa pendakwaan dan keputusan berkenaan.

Bagaimanapun keputusan pihak pendakwaan tidak meneruskan perbicaraan melemahkan imej Kerajaan Perpaduan sebagai penongkah arus perubahan dan reformasi.

Ia juga boleh mengurangkan keyakinan rakyat terhadap Malaysia Madani terutama ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sedang berlangsung.

“Harus diingat, Keadilan bermula dengan sebuah perlawanan dan perjuangan ini tidak harus jinak dengan godaan kuasa semata- mata,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.