JAKARTA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kejayaan luar biasa India dalam penembusan digital dikongsi untuk memberi manfaat kepada semua negara anggota ASEAN terutamanya dalam perbankan digital dan kewangan serta di kawasan luar bandar.
“Saya berpendapat isu ini perlu diteroka oleh India dan boleh menyumbang secara besar-besaran kepada kejayaan kita bersama,” kata beliau pada Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-20, yang diketuai oleh Presiden Indonesia Joko Widodo dan dihadiri Perdana Menteri India Narendra Modi bersempena Sidang Kemuncak ASEAN di sini hari ini.
Anwar juga menggalakkan kerjasama ekonomi antara ASEAN dan India, terutamanya dalam memuktamadkan perjanjian seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India menjelang 2025, dan memanfaatkan kepakaran pertanian India untuk pertanian pintar di rantau ini.
Menyentuh mengenai geopolitik, beliau menekankan penggunaan hubungan baik untuk menggalakkan dialog dan kewujudan bersama secara aman dalam cabaran geopolitik, termasuk isu Laut China Selatan.
Semasa pertemuan itu, Anwar turut menekankan peranan penting India sebagai sekutu strategik serta mengucapkan tahniah kepada negara itu atas kejayaan mendaratnya pesawat angkasa India, Chandrayaan-3, di kutub selatan bulan.
Pesawat angkasa Chandrayaan-3 India berjaya mendarat di permukaan bulan pada 23 Ogos, menjadikan India negara keempat berjaya mendarat di bulan dan yang pertama mendarat di kawasan kutub selatan.
— BERNAMA