SERDANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak mengesan tindakan memanipulasi bekalan beras putih tempatan dengan menukarkan bungkusannya kepada kampit beras import seperti didakwa pihak tertentu.
Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Berasnya, Datuk Azman Mahmood berkata, keputusan itu diperolehi selepas melakukan pemeriksaan secara berkala walaupun tiada aduan rasmi dibuat kepada kementerian.
“Itu andaian daripada orang ramai yang mengatakan perkara itu (manipulasi) berlaku. Sebenarnya tiada aduan rasmi daripada orang ramai.
“(Individu) yang bercakap tentang tukar kampit ini pun sudah 10 tahun tidak ada kilang.
“Sepatutnya dia membantu kerajaan supaya tidak merugikan dan meresahkan rakyat. Sebenarnya perkara itu tidak berlaku (manipulasi),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas Sesi Dialog Belanjawan 2024 KPKM Bersama Pemain Industri/Pihak Kepentingan di BawahSektor Padi dan Beras Negara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini, hari ini.
Sebelum ini, timbul dakwaan segelintir pemborong beras cuba memanipulasi harga kawalan ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import kerana mahu mengaut keuntungan besar.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat dakwaan tidak berasas itu.
“Kalau ada (manipulasi) sila buat aduan rasmi. Kalau tidak berlaku (seperti didakwa) kita akan ambil tindakan undang-undang keean ganggu penjawat awam,” katanya. – MalaysiaGazette