Majlis Pra Pelancaran High Value Gig: Program Latihan Digital Freelance, di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Career Advancement Programme (KPT-CAP) melalui dana PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi membantu 5,000 orang menyertai program High Value Gig: Latihan Digital Freelance, yang merupakan program latihan kompetensi untuk membantu peserta menjana pendapatan melalui aktiviti berbentuk bebas (freelancing).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, pelaksanaan Gig Economy adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperluaskan peluang kerjaya khusus buat pelajar seperti yang dinyatakan melalui Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 KPT.

“Jadi, dengan pelaksanaan program ini, ia diharap dapat membantu UA dalam menyediakan ekosistem yang dapat membantu pelaksanaan gig economy di universiti masing-masing. Saya juga berharap agar pelaksanaan program itu mampu membawa impak besar buat para pelajar, secara tidak langsung dapat memperkenalkan gig economy sebagai salah satu pilihan kerjaya mereka,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis Pra Pelancaran High Value Gig: Program Latihan Digital Freelance, di Putrajaya.

Katanya, UKM sebagai tuan rumah dan penyelaras program latihan mengharapkan agar semua UA dapat merebut peluang yang disediakan serta menghantar pelajar dan graduan bagi mengikuti program tersebut.

“Peluang bagi meningkatkan ilmu pengetahuan, tips and trick dalam memasarkan produk, khidmat dan kemahiran dalam platform gig tempatan dan antarabangsa amat berguna dalam usaha untuk bersaing bagi mendapatkan peluang pendapatan.

“Perlaksanaan program ini dijadualkan dalam tiga fasa bermula pada 15 September ini bagi fasa pertama yang melibatkan 1,500 peserta. Fasa kedua dan ketiga akan
bermula pada 15 Disember 2023 dan 15 Mac 2024,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh berkata terdapat pelbagai elemen pembelajaran seperti Latihan Aliran Kerja,

Latihan Bebas Digital dan Bootcamp Pemecut dirangka khusus bagi memastikan para pelajar menjana pendapatan dalam dunia digital.

“Program ini direka khusus untuk para pelajar tahun 3 dan ke atas, para graduan dan alumni UA dengan penglibatan 20 buah UA.

Secara umumnya, beliau berkata program itu merupakan kesinambungan dari program GLOW iaitu satu program anjuran MDEC, di bawah kelolaan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

“Ia bertujuan memberi bimbingan dan latihan bagi mempersiapkan peserta menjadi seorang freelancer yang berjaya dan mendapatkan pendapatan secara digital di platform
tempatan dan global,” katanya.

Melalui program digital freelance ini, ujar beliau, terdapat peserta yang telah berjaya menjana pendapatan sehingga RM3 juta melalui bidang Teknologi Maklumat (IT), perisian dan laman
sesawang.

High Value Gig: Latihan Digital Freelance adalah program anjuran bersama antara KPT, UKM dan MDEC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast