Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada hari ini memaklumkan bahawa Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri M_M yang dibuka untuk dibida pada 31 Ogos
sehingga 4 September lalu, bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66, merekodkan kutipan hasil sebanyak RM20,091,970.

Menurut Jabatabn Pengangkutan Jalan (JPJ), berdasarkan rekod bidaan, pendaftaran M1M mencatatkan bidaan tertinggi iaitu RM622,000 diikuti M5M dibidan pada harga RM500,000, M8M (RM450,000), M9M (RM402,004) dan M6M (RM350,000).

“Siri M__M ini juga telah menunjukkan sambutan yang luar biasa daripada pembida-pembida yang mana jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah seramai 25,033 orang dan sebanyak 6,872 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, lima NPI yang paling banyak dibida ialah M101M iaitu seramai 39 orang diikuti M155M (33 pembida), M51M (32 pembida), M313M (31 pembida) dan M39M (28 pembida).

Menurut kenyataan itu, hasil bidaan siri M___M ini yang membawa maksud “Malaysia Merdeka” telah mendapat sambutan daripada pelbagai pihak bagi menunjukkan semangat dan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2023.

“Bidaan nombor pendaftaran melalui Sistem JPJeBid secara dalam talian ini adalah suatu usaha jelas JPJ dalam menyediakan perkhidmatan secara digital kepada seluruh rakyat selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025.

“JPJ akan terus berusaha untuk memperluaskan dan memantapkan perkhidmatan digital untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya. -MalaysiaGazette