Razali Hussain

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembangunan Ehsan dan Multimedia dengan kerjasama Prangin Mall Pulau Pinang menganjurkan pertandingan Boria 2023 pada 7 dan 8 Oktober ini.

Pertandingan yang mendapat sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM7,650.

Menurut Pengerusinya, Razali Hussain, juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000, diikuti naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,300) dan finalist (RM600).

Katanya, hadiah juga disediakan bagi kategori Tukang Karang Terbaik sebanyak RM150 dan masing-masing RM300 untuk Sketsa Terbaik serta Busana Terbaik.

Jelas beliau, antara tema dan tajuk yang boleh dipilih pasukan atau kumpulan ialah berkaitan media sosial (scammer, siber buli, hantaran palsu dan lain-lain), masyarakat majmuk, poligami, gejala sosial seperti rempit, pemandu mabuk, penderaan, buli dan dadah.

“Setiap persembahan tidak boleh menyentuh perkara berkaitan sensitiviti perkauman, agama dan bangsa serta juga tidak dibenarkan menyentuh mengenai fizikal (body shaming) atau warna kulit.

“Pertandingan ini diadakan dalam bentuk kalah mati dengan penyertaan terbuka kepada Kumpulan Boria dari seluruh negara.

“Hanya 10 kumpulan akan bersaing pada pusingan kalah mati dan lima kumpulan di peringkat akhir,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Kata Razali, tiada had umur peserta bertanding dikenakan, tetapi jumlah artis untuk persembahan ialah seorang tukang karang dan lapan atau 10 sailor.

Kumpulan Boria dibenarkan menjemput sesiapa sahaja untuk menyertai kumpulan yang bertanding dengan format persembahan mengikut tertib persembahan seperti mengandungi lakonan sketsa, cara pergerakan masuk, corak persembahan Tukang Karang dan Sailor serta cara pergerakan keluar tidak melebihi 30 minit.

“Tukang Karang diwajibkan menyanyi secara live, sailor pula digalakkan menyanyi secara live atau boleh Miming dengan dibantu penyanyi latar, manakala rakaman suara Sailor juga dibenarkan.

“Borang penyertaan hendaklah dikembalikan kepada penganjur sebelum tarikh tutup dengan pertandingan diadili tiga juri berpengalaman dan pendirian juri yang dilantik adalah neutral.

“Keputusan juri adalah muktamad dan sebarang pertikaian selepas acara selesai tidak akan dilayan serta penganjur berhak meminda, membatalkan atau menambah mana- mana peraturan atau syarat dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian,” ujar beliau.

Razali turut menjelaskan, sketsa hendaklah disertai sekurang-kurangnya tiga hingga lima orang sahaja, manakala pelakon lelaki tidak dibenarkan berpakaian atau melakonkan watak wanita dan pelakon wanita juga tidak dibenarkan melakonkan watak dan berpakaian seperti lelaki.

“Pelakon hendaklah menggunakan Bahasa Melayu, manakala dialek atau loghat utara dan negeri lain boleh digunakan asalkan bersesuaian dengan jalan cerita.

“Bahasa digunakan hendaklah dipastikakan menerusi n bersopan, tidak mengandungi unsur fitnah, hasutan dan berbaur lucah.

“Begitu juga corak lakonan boria hendaklah berbentuk sketsa yang ringkas, bukan sebagai sebuah persembahan teater, diikuti cerita yang hendak disampaikan mengandungi mesej jelas dan membawa kepada maksud yang positif,” katanya.

Mengenai pergerakan koreografi Sailor dan Tukang Karang, katanya, hendaklah mengikut kreativiti masing-masing, tetapi masih terikat dengan gerakan asas yang menampakkan persembahan Boria, bukan sebuah persembahan tarian.

Gerak tari pula hendaklah bersesuaian dengan melodi dan mesti bersopan termasuk hand-props boleh digunakan, tetapi mesti bersesuaian dan tidak mengganggu gerak tari.

Katanya, penyertaan boleh dilakukan menerusi Whasapp beliau di talian 016-684 5448 dengan tarikh tutup pada 30 September ini. – MalaysiaGazette