Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kabinet pimpinannya telah lama mengambil keputusan untuk mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Katanya, keputusan itu dibuat sejurus selepas beliau masuk ke dalam Pejabat Perdana Menteri dan selepas mempengerusikan beberapa mesyuarat Kabinet.

Anwar berkata, satu kertas kerja turut dibentangkan selepas beberapa bulan beliau menjadi Perdana Menteri untuk memastikan Kabinet bersetuju dengan dasar pembahagian kuasa tersebut.

Katanya, Kabinet bersetuju untuk mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memperkuatkan fungsi dan peranan masing-masing.

“Ini adalah proses yang berjalan malah ia belum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Ia akan membabitkan kos yang besar. Tetapi jangan jangan kata ia belum diputuskan, Kerajaan ini telah buat keputusan.

“Kita tak boleh laksanakannya dalam tempoh beberapa minggu dan kita perlu dapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen untuk melaksanakan reformasi ini,” kata Anwar yang ditemui selepas solat Jumaat di Masjik Jamek Seri Petaling.

Anwar ditanya mengenai pandangan kerajaan terhadap desakan beberapa pihak supaya pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilakukan dengan segera.

Desakan semakin kuat selepas Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan untuk menghentikan prosiding terhadap 47 tuduhan melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka mendesak agar pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan tidak timbul konflik kepentingan dalam kes mahkamah berprofil tinggi.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Dr Muhammad Mohan menegaskan, reformasi institusi berkenaan juga boleh membuktikan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah menerusi tindakan serius dengan menangkap dan mendakwa pesalah yang menggelapkan dana awam.

Sementara seorang peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mencadangkan pelantikan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu bebas campur tangan daripada mana-mana pihak berkepentingan. – MalaysiaGazette