Treler yang membawa bahan kimia terbabas di Batu 4 Jalan Sungai Terap - Tanjung Karang, Kuala Selangor. Foto: Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu treler yang membawa muatan bahan kimia tercedera apabi kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas di Batu 4 Jalan Sungai Terap – Tanjung Karang, Kuala Selangor, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bilik gerakan operasi negeri yang menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 1.23 pagi mengerahkan sepasukan anggota dengan jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang, Hazardous Material Unit Team (Hazmat) dari Bomba Shah Alam dan Rawang telah ke lokasi kejadian.

“Sejurus sampai di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori treler kontena terbabas di atas jalan raya.

“Semasa kejadian lori kontena itu sedang dalam perjalanan dari arah Sabak Bernam menghala ke Klang yang membawa muatan bahan kimia sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas di atas jalan secara melintang dan menghalang laluan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Mukhlis, pemeriksaan pemandu treler berusia 44 tahun itu parah dan beliau telah dikeluarkan daripada kenderaan tersebut oleh orang awam sebelum anggota bomba sampai ke lokasi kemalangan

“Mangsa telah diserahkan kepada pihak kementerian Kesihatan untuk tindakan rawatan selanjutnya,” ujarnya.

Tambah beliau, pasukan HAZMAT telah mengenalpasti bahan kimia yang dibawa treler tersebut dan mendapati tiada unsur yang berbahaya di kawasan kemalangan.

Katanya, satu lorong menghala ke Sabak Bernam telah dibuka untuk kegunaan kenderaan manakala jalan menghala ke Kuala Selangor masih lagi ditutup untuk tindakan pembersihan jalan.- MalaysiaGazette.