KUANTAN – Lebih 10,000 peserta menyertai Program jelajah Fit Malaysia Pahang di perkarangan Stadium Daryl Makmur, hari ini.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, Fit Malaysia merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS) Pahang mendapat sambutan baik dan disertai inidividu pelbagai peringkat umur.
”Fit Malaysia dianjurkan dengan hasrat untuk membudaya dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup aktif, cergas dan sihat seiring dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia Madani.
”Kita dapat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dengan amalan gaya hidup aktif dan cergas, memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional menerusi penganjuran dan penyertaan di dalam acara sukan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Penganjuran program yang berkonsepkan karnival kecergasan dengan pengisian aktiviti seperti 35km dan 6km FunRide, 6km FunRun, 2.3km FunWalk, senamrobik, lompat tali, pameran kecergasan dan kesihatan serta banyak lagi aktiviti seawal jam 7 pagi.
Bertemakan ‘Let’s Get Fit’ siri Jelajah Fit Malaysia di seluruh negara yang mana kemuncaknya akan diadakan pada 14 Oktober 2023 serentak dengan sambutan Hari Sukan Negara di Pekarangan Istana Kehakiman, di Putrajaya. – MalaysiaGazette