Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kaiat bercakap kepada media selepas Lawatan ke Pusat Daerah Mengundi Sungai Danga sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Kampung Sungai Danga, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM. 27 OGOS 2023.

JOHOR BAHRU – Keputusan tidak rasmi menyaksikan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, setakat jam 8.11 malam, calon PH, Suhaizan Kayat memperoleh 36,703 undi menewaskan penyabar terdekat Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN).

Menerusi layar putih di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim , keputusan tidak rasmi mencatatkan Suhaizan setakat ini menang dengan majoriti lebih 12,000 undi.

Manakala, calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi memperoleh 408 undi, memetik kemas kini Asyraf Wajdi di laman Facebooknya.

Sementara itu, calon PH DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman memperoleh undi 10,528 mendahului calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya yang mendapat 7,226 undi diikuti 243 undi oleh calon bebas S Jeghanathan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, kedua-dua kerusi berkenaan dimenangi oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub. – MalaysiaGazette