JOHOR BAHRU – Baru sehari diumumkan menang kerusi Parlimen Pulai namun Suhaizan Kayat sudah menerima lebih 30 surat permohonan daripada penduduk berkenaan masalah rakyat.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, permohonan tersebut tidak termasuk masalah-masalah yang diadukan terus kepada wakilnya semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini.
“Saya akan beri perhatian pada isu-isu yang dibangkitkan dan cadangan-cadangan yang dikemukakan rakyat untuk dilaksanakan.
“Antara permohonan adalah membabitkan infrastruktur manakala anak muda dan wanita pula mahukan program untuk mereka. Selain itu, akan lihat isu-isu perumahan juga.
“Sekarang pula kita sudah di hujung tahun (biasanya peruntukan sudah tiada), ini satu cabaran bagaimana kita nak uruskan (tunaikan permintaan mereka),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Rakyat dan Petugas PRK PH BN di Dewan Raya Bukit Indah, Taman Bukit Indah 2, Johor Bahru hari ini.
Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan menang selepas mendapat 48,283 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar (28,642 undi) manakala calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi (528 undi).
Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meraih kemenangan majoriti 18,641 undi sementara peratus keluar mengundi pula berjumlah 47.37 peratus.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November lalu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menang kerusi Parlimen Pulai dengan 64,900 undi.- MalaysiaGazette