Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di dua pilihan raya kecil di Johor boleh menjadi model kepada kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-16.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kerjasama PH dan BN di Johor telah menemui tempo dan diharapkan menjadi model yang boleh dibaiki di seluruh negara.

“Syabas, tetapi barang diingatkan bahawa misi mengekalkan momentum gelombang perpaduan tidaklah mudah, perjalanannya masih panjang.

“Kerana gelombang fitnah tidak akan berhenti dari membisik dengan suara halus waswasil khannas untuk mengelirukan rakyat dari kalangan minal jinnati wannas,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan adalah simbolik kepada penolakan politik toksik perkauman dan eksploitasi agama yang didendangkan oleh Pas dan Perikatan Nasional.

Lagu fitnah untuk melagakan keharmonian rakyat dan sesama umat Islam telah ditolak oleh pengundi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

Tambah beliau kemenangan kedua-dua calon daripada Amanah itu sepatutnya diraikan oleh seluruh rakyat yang mencintai perpaduan dan membenci para pemfitnah.

“Tahniah kepada gelombang perpaduan kerana terus memberi harapan kepada rakyat yang mahukan kestabilan dan Malaysia yang aman fitnah.

“Tahniah buat jentera PH dan BN yang bertungkus lumus memastikan kemenangan calon Perpaduan di Pulai dan Simpang Jeram.

“Parti Amanah telah membuktikan di kedua tempat ini perjuangan Rahman diterima oleh rakyat dan legasi Datuk Seri Salehudin Ayob segar dalam hati pengundi,” katanya dalam kenyataan.

Dalam PRK yang berlangsung semalam Suhaizan Kayat memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641.

Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang memperoleh 29,642 undi dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi dengan 528 undi.

Sementara Nazri Abdul Rahman menang DUN Simpang Jeram dengan majoriti 3,514 selepas meraih 13,844 undi.

Beliau menewaskan calon PN Dr Mohd Mazri Yahya yang meraih 10,330 undi dan calon Bebas S.Jeganathan hanya mendapat 331 undi.-MalaysiaGazette