Ahli Parlimen Pulai baharu, Suhaizan Kayat beramah mesra bersama pengundi yang hadir bagi meraikan kemenangan pada Majlis Kesyukuran Rakyat dan Petugas PH-BN di Dewan Raya Taman Bukit Indah, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 10 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Penduduk terutama pengundi Parlimen Pulai mahu Suhaizan Kayat berkhidmat seperti aku janji yang dilafaz ketika beliau berkempen.

Salah seorangnya, Mohd Shazwan Mohd Sofi, 27,  sebagai pengundi muda di kawasan itu beliau mahu pemimpin yang menjiwai keluh kesah rakyat serta mudah didampingi.

Mohd Shazwan Mohd Sofi. Foto MUHD NA’IM, 10 SEPTEMBER 2023.

Akuinya banyak pembangunan yang harus diberi tumpuan oleh Suhaizan  melibatkan infrastuktur terutama membabitkan jalan-jalan utama yang rosak di Parlimen berkenaan.

“Saya sebagai orang muda memang mengharapkan pemimpin baharu kita ini jengok-jengok sikit jalan sekitar Pulai. Naikkan infrastuktur seperti tambah dewan-dewan, tempat rekreasi anak muda seperti padang bola dan kawasan futsal.

“Selain itu banyakkan program-program bersama golongan muda macam saya kerana waktu itu sahaja kami anak muda berpeluang meluahkan isi hati kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi orang lama seperti Razak Abdullah, 60, pula gembira dengan kemenangan Suhaizan turut mengharapkan bakal pemimpin baharu yang dipilih rakyat itu dapat menggalas tanggungjawab dengan lebih baik.

Razak Abdullah.. Foto MUHD NA’IM, 10 SEPTEMBER 2023.

“Saya mengharapkan beliau menjadi lebih baik dan dapat mentadbir Parlimen Pulai. Saya mahu kestabilan rakyat di bawa kepada kawasan ini dan Johor keseluruhannya dan teruskan Bantuan Rahmah. Jika boleh ditambah baik lagi bagus,” katanya.

Seorang pesara, Dave Madhven,60, pula mengharapkan ahli Parlimen baharu itu menunaikan janji kepada semua kaum.

Dave Madhven

“Banyak perkara yang boleh diketengahkan terutama melibatkan pengangkutan awam kerana jika dilihat masih relevan dan masih diperlukan oleh sesetengah orang.

“Kalau secara peribadi saya lihat soal pengangkutan awam di Pulai ini tidak diselengara secara teratur. Kita ada Pengangkutan Awam Johor tetapi jadual dia ramai tidak tahu,” katanya. – MalaysiaGazette