KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan hari ini, Presiden MUDA itu mengambil keputusan berkenaan selepas berbincang dengan kepimpinan dalam partinya.
Katanya, tindakan tersebut sebagai tanda protes terhadap tindakan Jabatan Peguam Negara membebas tanpa melepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 tuduhan.
Syed Saddiq telah mengutuskan surat untuk berada dalam blok pembangkang kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Menurutnya, langkah yang diambil adalah sesuatu yang sukar namun perlu dan berbaloi.
“Tindakan kerajaan hari ini menggugurkan 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri menyukarkan MUDA untuk terus kekal dalam kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, tindakan yang diambil bukanlah kali pertama kerana pernah mengambil tindakan yang sama pada 2020 ketika Langkah Sheraton berlaku dan ditawarkan jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan.
Beliau menolak tawaran berkenaan dan melawan dengan ugutan selepas berbuat demikian.
“Saya lawan kerana mahu membina Malaysia yang bermaruah dan berintegriti. Siapa sangka kerajaan yang dianggap mahu melaksanakan reformasi akhirnya menggugurkan tuduhan rasuah hanya semata-mata untuk kuasa.
“Saya tidak akan membenarkan Malaysia untuk menormalisasikan rasuah. Saya adalah rakyat yang bangga dan mahu melihat negara ini menjadi negara maju mematuhi undang-undang dan meraikan kepelbagaian,” katanya.
Syed Saddiq berkata, beliau mahu menjadi kuasa ketiga dalam Parlimen dan menjadi suara rakyat dengan memainkan peranan semak dan imbang.
Menurutnya, MUDA akan tetap menyokong semua reformasi institusi dan perihal rakyat.
MUDA sebelum ini memberitahu, mereka akan menilai semula sokongan terhadap kerajaan serta mungkin turun ke jalan raya jika tiada penjelasan diberikan dalam kes mahkamah Ahmad Zahid.
Kerajaan kini disokong oleh 148 daripada 222 anggota parlimen, dan ia merupakan jumlah asas untuk membentuk majoriti dua per tiga dalam Dewan Rakyat.
Pada 4 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Langkah itu diambil Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas pihak pendakwaan sendiri memohon untuk memberhentikan prosiding dengan memberikan 11 alasan.
Permohonan itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar.
Ketika ini MUDA mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat iaitu presiden parti itu sendiri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menang kerusi Parlimen Muar pada PRU15. – MalaysiaGazette
Yes…!!! Bagus tindakan dia. Bahaya kerajaan ada 2/3 lebih2 lg ada puak yg tengah mengintai banyak benda dlm perlembagaan untuk diubah
Eloklah tu. Dia pun bukan ada sumbangan pun kepada kerajaan Perpaduan. Mengotorkan kerajaan madani.
Kerajaan madanon mmg dh kotor pun. Kerajaan gabungan puak munafik yg gila kuasa utk slmtkan diri dan yg sggup menipu utk dpt kuasa. Ciri² org munafik mmg kuat menipu dan janjinya semuanya kelaut.. REFOMATI HANCING.