Azalina Othman Said

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju dengan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah berhubung semakan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, persetujuan itu dicapai pada 30 Ogos lalu daripada cadangan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Kata beliau, pihak terlibat ialah Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPM), Jabatan Penjara Malaysia, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Majlis Peguam Malaysia, Sabah Law Society (SLS) dan Advocates Association of Sarawak (AAS) bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM).

“Berikutan daripada penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai 2023, kerajaan selanjutnya akan menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) pada 12 September ini.

“Pelaksanaan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah ini akan membolehkan semua 1,020 banduan yang telah dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, memfailkan permohonan di mahkamah untuk membuat semakan kepada hukuman masing-masing.

“Keutamaan kepada pelaksanaan mekanisme ini merangkumi faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan-pertimbangan lain,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Azalina, dalam menjamin akses kepada keadilan dan memelihara prinsip kesaksamaan, kerajaan melalui mekanisme dipersetujui telah bersetuju supaya banduan yang dikenakan hukuman mati dan tidak berkemampuan untuk melantik peguam dalam proses semakan hukuman tersebut boleh mendapatkan khidmat guaman yang dilantik mahkamah.

Katanya, bagi banduan yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, boleh mendapatkan khidmat guaman daripada YBGK.

“Kedua-dua perkhidmatan bantuan guaman yang ditawarkan ini mencerminkan keutamaan dan pendirian kerajaan dalam memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat Malaysia,” kata beliau.

Jelas Azalina lagi, Penguatkuasaan Akta 847 melalui mekanisme yang dipersetujui Jemaah Menteri turut mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sejagat.

Ini, katanya, membuktikan prinsip restorative justice dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia sentiasa terpelihara.

“Malah, ini juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan yang dikenakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup sebagai rakyat biasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast