Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bergambar beramai-ramai selepas hadir ke Majlis Perasmian Penutup Minggu TVET Digital POLYCC 2023 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2023.

SHAH ALAM – Minggu TVET Digital POLYCC merupakan program sangat kritikal dan relevan kerana ia satu usaha kerajaan untuk berhadapan dengan tiga perkara yang kini melatari sektor pendidikan tinggi negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiga perkara itu ialah impak pandemik Covid-19 yang menuntut peralihan kepada pendigitalan secara besar-besaran.

Kedua, perubahan cabaran dan bentuk pendidikan tinggi yang memerlukan pendekatan baharu dan terkini.

Manakala ketiga, kepentingan mendesak serta permintaan yang tinggi kepada program pengajian dan latihan politeknik khususnya daripada pihak industri untuk tujuan skilling, reskilling dan upskilling.

“Ketiga-tiga latar ini menyebabkan pendigitalan serta inovasi pendidikan tinggi menjadi sangat kritikal dan tidak boleh dielakkan.

“Atas dasar itulah, saya sering menegaskan keperluan untuk kita memberi perhatian yang serius terhadap agenda pendigitalan dan inovasi pendidikan tinggi,” katanya ketika berucap merasmi penutup Minggu TVET Digital POLYCC di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, proses itu mesti dilakukan dengan menumpukan sekurang-kurangnya tiga sasaran utama iaitu kementerian mahu memastikan pendidikan tinggi kekal relevan, yang mana kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tuntutan.

Jelas Mohamed Khaled, daripada segi pengisian dan kandungan pengajian pula, ia perlu memenuhi jangkaan pihak industri seperti pasaran kerja yang kompetitif, teknologi berkembang pantas dan sumber yang berkurangan.

Malah, katanya, kebanyakan program kemahiran serta penciptaan inovasi teknikal dan teknologi adalah dipacu oleh pihak industri, bukan lagi institute pengajian tinggi (IPT).

“Semua ini menuntut kita untuk memastikan pendekatan dan strategik pendidikan tinggi kita berkesan dan menjawab cabaran semasa. Ia tidak boleh ketinggalan zaman dan kekal dengan cara lama.

“Dalam konteks ini, saya menyambut baik apabila dimaklumkan Sistem Pembelajaran Digital (CIDOS) yang dibangunkan pihak politeknik telah menggunakan perkhidmatan pengkomputeran awan sepenuhnya.

“Malah, 95 peratus kurikulum politeknik dan kolej komuniti sudah mengandungi integrasi elemen 4IR,” katanya.

Menurutnya sekali pun itu merupakan satu perkembangan yang baik, beliau percaya pihaknya mesti memastikan politeknik terus dimajukan dari semasa ke semasa.

“Untuk memajukan ekosistem pendidikan di politeknik, saya terbuka untuk mempertimbang dan mengambil beberapa langkah drastik dan transformatif termasuk membenarkan politeknik dipacu sektor swasta dan industri.

“Atau pihak yang mempunyai kelebihan dalam aspek teknologi dan ekosistem yang berpaksikan kemahiran sekali gus menjadikan pengajian di politeknik relevan dan terkini.

“Malah kebolehpasaran dan daya saing graduan lepasan politeknik dapat ditingkatkan secara signifikan,” katanya.

Kementerian juga hendak memastikan pendidikan tinggi khususnya bersifat teknikal dan kemahiran dapat menarik minat lebih ramai anak muda, ujarnya.

Jelas beliau, penurunan minat sesetengah kelompok anak muda untuk mengikuti pendidikan tinggi terutama dalam bidang TVET mesti dipandang serius.

“Kita tidak boleh membiarkan anak muda hari ini hanyut dengan kepercayaan dan salah tanggapan bahawa mereka boleh mengharungi masa depan sekali pun tanpa ilmu dan kemahiran.

“Ia harus menjadi tanggungjawab kita semua yang berada dalam sektor pendidikan tinggi, termasuk untuk mencari strategi serta mencipta tarikan Baharu agar lebih ramai pelajar dan anak muda berminat mengikut pengajian tinggi khususnya di politeknik.

“Jadi, inisiatif TVET Digital ini sangat penting. Kita mengharapkan pelaksanaannya memberi satu sentuhan serta lonjakan Baharu kepada pengajian politeknik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast