Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Arutchelvan Subramaniams bercakap pada media setelah selesai penyerahan memorandum yang diberikan kepada pihak Peguam Negara bagi kes mahkmah melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. Foto QURRATU AINI, 11 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam urusan institusi kehakiman apabila enggan membahaskan isu lepas tanpa bebas (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen.

Timbalan Pengerusinya, S. Arutchelvan mendakwa, kenyataan Perdana Menteri itu seolah-olah satu arahan agar Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar tidak melayani permintaan itu.

“Perdana Menteri sudah pun campur tangan kerana bila dia bercakap bahawa tidak boleh didebat di Parlimen, dia sudah campur tangan dalam urusan Parlimen.

“Kita minta Perdana Menteri, jangan campur tangan, sekarang kita risau dia seolah-olah bagi arahan jangan bincang.

“Jadi Speaker daripada parti dia mungkin tidak akan benarkan perbincangan (bahas),” dakwanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri berkata, keputusan mahkamah (DNAA) Presiden UMNO itu daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram tidak boleh dibahas pada sidang khas Dewan Rakyat.

Perdana Menteri berkata, sidang Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah.

Arutchelvan juga berkata, tindakan Anwar itu bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini yang gemar menggunakan Parlimen untuk mendapatkan penjelasan dalam sesuatu isu.

“Perdana Menteri kita ini selalu suka cakap di Parlimen, dia minta selalunya terbuka tapi dalam kes ini, dia langsung tidak mahu bersemuka di Parlimen.

“Saya ingat tidak ada sebab kalau dia tak apa-apa nak disembunyikan, mengapa Perdana Menteri membenarkan isu ini didebatkan di Parlimen?” katanya.

Katanya lagi, beliau cukup hairan apabila bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harus yang sebelum ini komited untuk mendakwa Ahmad Zahid, tiba-tiba menggugurkan kes itu.

“Satu misteri cukup besar kalau Peguam Negara yang beriya-iya nak buang kes itu, kenapa dia ambil cuti awal tiga empat hari?

“Kita tahu apa yang berlaku, kita semua dari zaman Mahathir, kita tahu apa yang berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette