Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru supaya menghulurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Gempa Maghribi yang disediakan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyediakan tabung tersebut untuk diserah kepada mangsa bencana alam di negara terbabit.

“MAPIM mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Maghribi dalam gempa bumi yang dahsyat kelmarin.

“Kami turut bersedih dan berdoa kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dan harta benda. Semoga rakyat Maghribi tabah menghadapi musibah tersebut .

Kami berharap semua bantuan akan dihulurkan kepada Maghribi untuk membantu mangsa,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam kejadian kelmarin, lebih 2,000 orang terbunuh selepas gempa bumi kuat berukuran 7.2 magnitud melanda negara itu namun, angka tersebut dikhuatiri meningkat manakala jumlah yang cedera beratus-ratus orang.

Gempa tersebut menyebabkan gegaran dirasai dari bandar Rabat di utara hingga ke Sidi Ifni di selatan negara itu.

Bagaimanapun, Wisma Putra melaporkan tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam tragedi berkenaan. – MalaysiaGazette