Gelagat seekor panda yang sedang makan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Zoo Negara, Ampang, Selangor.

HULU KELANG – Zoo Negara sentiasa bersedia menjadi penjaga kepada panda gergasi sekiranya kerajaan bersetuju meneruskan program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Presiden Zoo Negara, Datuk Seri Zaharin Md Arif berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan program tersebut yang bermula sejak Mei 2014.

“Semuanya bergantung kepada keputusan kedua-dua kerajaan iaitu Malaysia dan China. Tugas kami hanyalah menjaga dan menguruskan binatang comel itu,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau bersama Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertahanan, Dr Mohd Bakhari Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed merasmikan Surau Abu Hurairah di sini hari ini.

Presiden Zoo Negara, Datuk Sr. Zaharin Md Arif (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed (tiga kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Dr. Mohd Bakhari Ismail (tengah) melakukan gimik perasmian Surau Abu Hurairah yang dibina semula ketika di Zoo Negara, Ampang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2023.

Untuk rekod, pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dipinjamkan selama  10 tahun bersempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China.

Kedua-dua panda itu dilahirkan pada 23 Ogos 2006 di Pusat Panda Wolong, Sichuan, China.

Dalam pada itu, diminta mengulas perkembangan terkini anak panda gergasi, Yi Yi dan Sheng Yi yang dihantar pulang ke China baru-baru ini,Zaharin berkata, pihaknya belum mendapat laporan penuh berhubung perkara itu.

“Kami belum dapat sebarang perkembangan penuh mengenai kedua-duanya,  sudah tentu mereka selamat berada di negara China. Kami sentiasa menantikan berita mengenai mereka,” ujarnya.

Sheng Yi dan Yi Yi telah dihantar pulang ke China pada 29 Ogos lalu bagi memenuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda. – MalaysiaGazette