Amira Aisya Abd Aziz

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd. Aziz mengumjumkan keluar daripada blok gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan di Johor.

Keputusan tersebut diambil berikutan tindakan Presiden parti tersebut, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat, kelmarin.

Menurut Ahli Dewan Undangan (ADUN) Puteri Wangsa itu, ia sekaligus menandakan MUDA sebagai sebuah parti telah menarik sokongan dari Kerajaan PHBN secara en bloc dan tidak lagi akan berkongsi ruang yang sama dengan blok kerajaan.

“Apa maksudnya untuk kedudukan kerusi Puteri Wangsa? Bagi Dewan Negeri Johor, kedudukan sebelum ini untuk PHBN+MUDA adalah di blok Pengimbang Kerajaan.

“Maka sebagai Timbalan Presiden MUDA, kini saya juga bersama-sama dengan keputusan parti untuk keluar dari kumpulan blok PHBN,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Ketika mengumumkan penarikan diri itu, Syed Saddiq berkata, antara sebab utama tindakan tersebut diambil adalah kerana langkah Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhir-akhir dilihatnya bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Isu integriti dan budaya rasuah turut menjadi faktor mengapa MUDA mengambil keputusan untuk tidak lagi menyokong Kerajaan Perpaduan,” kata Presiden MUDA itu dalam kenyataan video yang dikongsi menerusi media sosial.

Amiya Aisya berkata, tindakannya itu sejajar dengan aspirasi untuk mengekalkan prinsip politik yang telah dibawa beliau dan MUDA bawa sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Beiau percaya politik baru menuntut setiap satu wakil untuk mengambil tanggungjawab yang dihulur dari rakyat serta pengundi dan keputusan yang diambil MUDA bertujuan untuk terus melindungi amanah tersebut.

Katanya, negeri Johor dan rakyat Puteri Wangsa akan terus menjadi keutamaan walau apa pun cabaran dan ujian di hadapan dan beliau akan menggalas kepercayaan rakyat sehingga pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette