khairuddin
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menganggap isu berkaitan dengan pengeluaran fatwa secara berleluasa oleh sebahagian pemimpin politik satu trend yang amat membahayakan.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tidak wajar fatwa politik dikeluarkan tanpa kepentingan umat dan negara.

“Fatwa politik yang mempengaruhi pengikut dikeluarkan sewenang-wenangnya sedangkan fatwa adalah di bawah kuasa Raja-raja Melayu yang dibuat secara jamaei dan kolektif oleh para Alim Ulamak yang tidak berkepentingan melainkan demi umat dan negara.

“Menjunjung kasih kepada Tuanku Selangor atas titah baginda yang mendamaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO,  itu berkata, suatu isu berkaitan ancaman terhadap Islam sengaja direka untuk menakut-nakutkan rakyat memberi kesan kepada perpecahan dan tindakan ganas.

“Membaca Titah Sultan Selangor yang dikeluarkan pada hari ini memperingatkan semua rakyat bahawa negara ini dipayungi Raja-raja Melayu yang memperturunkan kuasa eksekutif milik mereka kepada rakyat yang dipilih dalam pilihanraya untuk menguruskan negara. Rakyat yang diberi kuasa perlu berhemah melaksanakan amanah kuasa tanpa mencarikkan perpaduan rakyat.

“Ia mendorong rakyat bertindak ganas, ekstrem dan melampau terhadap saingan politik mereka ketika berpilihanraya. Sedang sepatutnya pilihanraya berlangsung cara harmoni, damai dalam suasana persaudaraan rakyat Malaysia,” tambah bekas pemimpin Pas itu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam menegaskan, fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau mufti setelah mendapat perkenan dari raja bagi setiap negeri.

Dalam masa yang sama, Sultan Selangor turut mengingatkan rakyat, ahli dan pemimpin politik menjalankan peranan menyatupadukan antara satu sama lain.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu fatwa ahli politik satu trend membahayakan – Sultan Selangor