KUALA LUMPUR – Pelaksanaan lorong bas khas dari Pandan Indah ke Masjid Jamek di ibu kota dapat menjimatkan masa perjalanan hampir 20 minit, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Kata beliau, Bas 300 yang khusus membawa penumpang dari laluan itu, antara jalan paling sibuk dan sesak di Kuala Lumpur kini mengambil masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke destinasi berbanding lebih satu jam sebelum ini.
Namun, katanya, jika tidak ada gangguan daripada kenderaan persendirian yang turut mengambil kesempatan menggunakan laluan itu, masa perjalanan mungkin dapat disingkatkan lagi.
“Pagi tadi saya naik bas 300 ini dari Pandan Indah jam 8.05 pagi dan sampai ke sini (Masjid Jamek) sebelum jam 9 pagi.
“Ini satu perkembangan baik dalam usaha kita memastikan orang ramai yang menggunakan pengangkutan bas ini sampai ke destinasi lebih awal terutama melalui Jalan Ampang.
“Kementerian saya bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyediakan satu laluan bas bagi melancarkan perjalanan di laluan paling sibuk di ibu kota ini,” katanya pada sidang media mengenai perkhidmatan bas di Hentian Bas KL1937 LRT Masjid Jamek, di sini, hari ini.
Menurut Loke, bagi melancarkan lagi perkhidmatan itu, kementeriannya akan bekerjasama dengan syarikat yang bersetuju menyediakan bas untuk pengangkutan awam.
Ini kerana, katanya, di Lembah Klang setakat ini pihaknya menerusi Prasarana Malaysia Berhad hanya mempunyai 766 bas yang beroperasi setiap hari, iaitu jumlah yang agak kecil berbanding Singapura.
“Di Singapura, walaupun populasinya sama besar dengan Lembah Klang, mereka mempunyai lebih 5,500 bas yang beroperasi berbanding kita lebih lebih 700 unit.
“Sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi sedangkan di Lembah Klang saja ada lapan hingga sembilan juta orang.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan pihak Prasarana, menjelang akhir tahun ini jumlah bas akan bertambah kepada 1,000 unit,” ujarnya.
Kata Loke, sejak lorong khas laluan bas 300 dimulakan dua bulan lalu, jumlah penumpang telah bertambah daripada lebih 12,900 kepada lebih 14,500 orang setiap hari dengan 25 unit bas beroperasi.
Ini petanda baik, yang mana kerajaan berharap dapat meneruskannya bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan bas sebagai pengangkutan utama mereka ke tempat kerja.
“Sekarang kita sedang menambah baik lagi selepas melihat kepada perkembangan dan kekurangan bas.
“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat Jemaah Menteri bulan depan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri untuk memperluaskan lagi laluan bas di ibu kota.
“Ini penting untuk menjayakan agenda dan hasrat kerajaan meningkatkan penggunaan pengangkutan bas di kalangan rakyat di Lembah Klang dan bandar raya,” kata beliau.
Ditanya berapakah jumlah bas diperlukan bagi mengatasi masalah kesesakan, Loke berkata, untuk kegunaan di Lembah Klang sahaja anggaran diperlukan kira-kira 3,000 unit.
“Kalau kita nak perkhidmatan bas yang lebih efisien, sekurang-kurangnya kita memerlukan 3,000 hingga 4,000 bas sehari.
“Bagi mencapai matlamat ini, kita membuka tender kepada mana-mana syarikat bas yang berminat dengan tawaran ini. Mereka boleh kemukakan kepada kita dan kita telahpun buka tender.
“ini antara pendekatan baharu yang kita ambil untuk tambah bilangan bas dalam kadar segera,” katanya. – MalaysiaGazette