KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya segala bentuk bantuan dan usaha koordinasi terkait insiden kebakaran di Putra Heights perlu diselaraskan secara langsung dengan Menteri Besar Selangor dan Petronas.
Menurut Perdana Menteri, langkah itu bagi memastikan segala gerak kerja terkait pengurusan bantuan di lapangan dapat dibuat dengan teratur dan lebih berkesan.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor industri amat penting dalam menangani situasi ini dengan segera dan menyeluruh,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Tambah kenyataan itu, Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan semasa dan memberi sokongan dan dukungan penuh terhadap segala usaha pemulihan dan keselamatan yang sedang dilaksanakan.
Dalam insiden kebakaran paip gas yang berlaku Selasa lalu, seramai 1,254 orang daripada 308 keluarga menjadi mangsa dengan 87 buah rumah musnah sepenuhnya, manakala 148 kediaman lagi mengalami kerosakan. – MalaysiaGazette
















