Pesuruhjaya SUHAKAM, Prof. Datuk Noor Aziah (kiri) dan Datuk Hasnal Rezua Merican (kanan) bergambar bersama Laporan Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) selepas sidang media mengenai siasatan kes Rumah Insani di Ibu Pejabat (SUHAKAM) , Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 12 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Rumah Pemulihan Akhlak Insani (Rumah Insani) yang terletak di Bukit Beruntung, Selangor didakwa melakukan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia terhadap penghuni berusia antara 10 hingga 54 tahun.

Suruhanjaya Hak Asasi manusia (SUHAKAM) yang melakukan siasatan terhadap rumah pemulihan yang didakwa dikendalikan secara Islamik itu mendapati pelatih turut didera.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, pelatih seramai 52 orang hanya diberi makan nasi berlauk garam, tidur antara dua hingga tiga jam serta melakukan solat 100 rakaat setiap hari.

“Program pemulihan melibatkan empat modul iaitu taklim, bacaan hadis pilihan, hafazan, zikir, baca al-Quran, dakwah, huruj selama empat bulan 44 hari bersama jemaah, ibadat solat 100 rakaat setiap hari solat fardu dan sunat.

“Kalau dilihat pada program ini nampak macam tak ada apa-apa tetapi penghuni apabila kita membuat siasatan dan menemubual  kadang-kala tidur tiga atau dua jam.

“Dari segi makanan telah disahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya diberi nasi dengan garam dan tidak mencukupi. Mereka dimaklumkan daripada makanan akan melakukan perkara maksiat serta sentiasa disuruh berpuasa,” kata Noor Aziah.

Menurut beliau, penghuni juga dikenakan hukuman ‘komando rest’ jika melakukan kesalahan dan terdapat kesan lebam pada badan.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Prof. Datuk Noor Aziah bercakap pada sidang media mengenai siasatan kes Rumah Insani di Ibu Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 12 SEPTEMBER 2023.

SUHAKAM yang melakukan lawatan dan siasatan ke pusat tersebut pada 3, 16 dan 22 Mac lalu di bawah Seksyen 12 (1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] turut mendapati penghuni tinggal seperti dalam penjara.

Katanya, ketika siasatan dibuat empat daripada penghuni berusia di bawah 18 tahun dan 12 adalah wanita.

Kesemua penghuni tidak dibenarkan keluar atau berjumpa sesiapa selama enam bulan malah terdapat yang tinggal di pusat itu lebih empat tahun.

“Mereka tidak dibenarkan keluar kerana rumah itu dikunci dari luar. Masa saya pergi dengan kakitangan SUHAKAM untuk menemubual kami turut dikunci dari luar dan staf memberitahu mereka memang berbuat begitu.

“Rumah penjagaan wanita itu sebenarnya diletakkan pagar zink, tingkap diletak langsir tebal dan tak nampak cahaya matahari.

“Kenapa ibu bapa tak tahu? Sebab mereka tidak dimaklumkan dan pelatih tak boleh mengadu. Kalau mereka cakap akan dikenakan tindakan,” kata Noor Aziah yang memberitahu setiap penghuni dikenakan bayaran RM600 sebulan untuk kos rawatan.

Rumah Insani yang menempatkan 54 penghuni. – Foto sumber media sosial

Katanya, empat kanak-kanak di bawah umur telah diselamatkan oleh JKM daripada pusat yang diuruskan oleh 11 kakitangan.

SUHAKAM melengkapkan siasatan pada Jun lalu yang melibatkan lawatan pemantauan, rakaman keterangan 33 saksi, pengumpulan 49 ekshibit dan perbincangan dengan agensi berkaitan.

Hasil siasatan mendapati Rumah Insani beroperasi secara tidak sah dalam menjalankan program pemulihan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta
283] dan Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615].

Program penjagaan dan pemulihan kanak-kanak di pusat itu didakwa bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

Pelatih yang berumur bawah 18 tahun tidak dihantar ke sekolah yang melanggar Seksyen 29A (2) Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] dan Rawatan dan pemulihan pelatih juga tidak mematuhi Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506].

Rumaah perlindungan itu turut melanggar hak asasi manusia yang bertentangan dengan Artikel 5 dan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan serta Artikel 3 hingga Artikel 7 Deklarasi Hak Asasi Manusia Universal (UDHR).

Katanya, siasatan polis juga mendapati beberapa pelatih yang ditempatkan di Rumah Insani tersenarai sebagai ‘orang yang dikehendaki’.

Pendaftaran salah satu premis juga telah tamat tempoh melanggar Seksyen 4 Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506].

Dalam laporan tersebut, SUHAKAM mencadangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Selangor menyemak semula pendaftaran dan operasi Rumah Insani.

Suruhanjaya itu turut mencadangkan agar pihak polis melakukan tindakan undang-undang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast