JOHOR BAHRU – Bapa kepada lima anak dan juga seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dengan dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di Taman Bukit Mewah di sini pada 30 Ogos lalu.
Tertuduh, R. Kengganthran, 41, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraidah Sulaiman.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memegang kemaluan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun lapan bulan.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah beralamat 04-12, Blok 4, Jalan Megah Ria 2/2 Taman Bukit Mewah, Tampoi pukul 6.30 petang, 30 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan kedua, suspek didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang sama dengan cara menyuruhnya memegang kemaluan tertuduh di tempat dan waktu yang sama.
Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 14(b) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Jika sabit kesalahan, setiap satu kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwaraya, Nur Farah Wahida Farawahida Shahudin mencadangkan kepada mahkamah wang jaminan RM20,000 selain dilarang mengganggu saksi dan mangsa sehingga kes selesai.
Suspek juga kena melapor diri di balai berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan diikat jamin dengan jumlah yang rendah.
“Saya tak buat tuan, isteri satu orang kerja, saya tak kerja jaga anak, anak ada lima orang,” katanya yang merupakan rakan kepada ibu mangsa.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin RM12,000 berserta tiga syarat yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan kes sebutan semula bagi serahkan dokumen dan lantikan peguam pada 9 November depan.-MalaysiaGazette