KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan agar kerajaan melaksanakan tambatan ringgit bagi memastikan nilai matawang negara tidak terus merosot.
Mahathir berkata, nilai ringgit menyusut disebabkan peniaga matawang menjual ringgit untuk membuat keuntungan.
Malaysia menurut beliau, tidak mempunyai sebab untuk membantu peniaga matawang untuk membuat keuntunga daripada perdagangan ringgit.
“Mengapa Malaysia perlu menerima menjadi lebih miskin supaya peniaga matawang boleh membuat wang? Saya rasa kita tidak patut.
“Saya tidak fikir kita harus mengalami peningkatan kemiskinan semata-mata kerana kita mahu setia kepada norma antarabangsa. Saya fikir kita harus memberi keutamaan kepada kestabilan kewangan dan ekonomi kita.
“Apa yang saya cadangkan ialah kita harus menetapkan kadar pertukaran seperti yang kita lakukan semasa krisis kewangan 1997-1998. Ingat bagaimana penurunan nilai Ringgit berhenti. Ingat bagaimana kita pulih,” katanya.
Mahathir berkata, melalui kaedah itu negara-negara lain dapat mengelak kejatuhan nilai mata wang yang dimanipulasi oleh peniaga mata wang.
Mengakui kaedah itu akan memberi masalah seperti yang berlaku pada kali pertama Malaysia melaksanakan tambatan ringgit, ia boleh diatasi dengan penubuhan jawatankuasa khas.
Jawatankuasa itu akan berurusan dengan bank pembiayaan semula, berurusan dengan pinjaman tidak berbayar dan pembayaran hutang.
“Orang yang menangani masalah ini masih ada. Jadi mengapa tidak mempertimbangkan untuk menetapkan kadar pertukaran untuk menyelesaikan masalah ringgit.
“Kita mempunyai simpanan dan rizab yang mencukupi dalam mata wang asing, termasuk Amerika dollar untuk membiayai import,” kata Mahathir.
Sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan tambat ringgit boleh menyebabkan Malaysia hilang keupayaan meneruskan dasar monetari dan sekali gus memaksa Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.6755/6805 berbanding dolar AS daripada 4.6725/6760 semalam. – MalaysiaGazette