Dr. Mohammed Taufiq Johari. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan tidak memberikan kesan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), itu adalah hak parti itu untuk berbuat demikian namun berharap Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan tetap menyokong apa-apa Rang Undang-undang (RUU) yang digubal demi kepentingan rakyat di masa akan datang.

“Bagi saya itu tidak beri impak yang begitu besar sebab sokongan Kerajaan Perpaduan PH-BN masih kukuh, tidak ada apa-apa isu besar dan bisnes seperti biasa kerajaan berjalan dengna baik dan RMK-12 berjalan seperti biasa. Bajet akan diteruskan dengan sokongan padu dan mantap.

“Dan kalau pun hilang majoriti dua pertiga, saya nak melihat bagaimana parti MUDA yang diwakili oleh Syed Saddiq,  katakan nak pinda apa-apa pindaan yang perlu melibatkan dua pertiga majoriti adakah beliau akan tetap sokong walaupun pindaan tersebut berikan kebaikan kepada rakyat,” katanya kepada media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Mohammed Taufiq, sekiranya apa-apa RUU yang digubal oleh kerajaan tidak disokong oleh Syed Saddiq, ia mencerminkan pemimpin MUDA itu tidak ikhlas dalam menyokong kerajaan sebelum ini.

“Jika beliau tidak akan sokong, jadi dari situ kita boleh nampak keikhlasan beliau untuk menyokong sesuatu pindaan,” katanya lagi.

Mohammed Taufiq yang juga Ketua Pemuda PH Kedah itu mengulas tindakan Syed Saddiq yang menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta-merta.

Syed Saddiq berkata pihaknya sudah memaklumkan pendirian diambilnya itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul, melalui surat rasmi memohon pertimbangan berbuat demikian di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.

Mohammed Taufiq dalam nada sama turut menggesa MUDA agar melihat kepada faktor kemenenangan Syed Saddiq di Parlimen Muar juga disumbangkan oleh jentera dan pengundi PH.

“Pengundi undi MUDA disebabkan apa? Adakah disebabkan parti semata-mata, atau disebabkan gabungan MUDA waktu itu.

“Jadi dia (Syed Saddiq) perlu fikir ke rah itu, dan saya rasa saya tidak akan desak untuk kosongkan kerusi, tapi ingatlah dia mendapatkan kerusi itu atas belas ehsan pengundi di sana yang sewaktu itu beliau bersama jentera PH.

“Kebanyakan yang undi beliau adalah pengundi PH ketika itu, malah jentera yang digunakan adalah jentera PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette