Gambar hiasan

IPOH – Seorang warga emas berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM1.4 juta selepas mangsa sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’ sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, wanita berusia 62 tahun itu terpedaya dengan sindiket yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier dan pegawai polis dari Kontinjen Sabah selepas menerima panggilan pada 27 Mac 2020.

Jelas beliau, sindiket berkenaan mendakwa terdapat bungkusan atas nama mangsa selain dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta dadah.

“Pesara yang berasal dari Ipoh itu percaya dengan maklumat yang disampaikan suspek apabila ditunjukkan waran tangkap mahkamah atas namanya.

“Susulan itu, mangsa mengikuti arahan suspek dengan membuat pemindahan wang ke pelbagai akaun bank melibat jumlah keseluruhan RM1,417,019.84.

“Sepanjang berurusan, mangsa berkomunikasi dengan lima pegawai polis berlainan hingga mendedahkan maklumat sulit berkaitan akaun bank dan dompet digital,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd Yusri, mangsa hanya menyedari ditipu apabila dia menunggu suspek sejak 2020 untuk bertemu bagi menyelesaikan kesnya itu.

“Mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette