Dr. Mohamad Izwan Zainal

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mencari punca kuasa dalam menangani isu kenaikan harga beras import dan tempatan yang membebankan rakyat dengan kos sara hidup meningkat dalam tempoh dua tahun pasca pandemik Covid-19.

Pengerusi Biro Ekonomi Parti Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, antara pendekatan perlu dilakukan ialah menaikkan nilai subsidi untuk beras tempatan supaya kekal pada harga sebelum krisis kenaikan berlaku.

Katanya, ia sebagai perancangan jangka masa pendek manakala bagi jangka panjang pula kerajaan perlu mencari pendekatan lebih holistik dengan mencadangkan urban farm di kawasan bandar atau pinggir bandar.

Kata beliau, kerajaan juga perlu memberikan sokongan melalui dana awam dengan memastikannya disalurkan kepada pihak yang benar-benar mengusahakan penanaman padi.

“Pemerkasaan institusi penyelidikan seperti MARDI, FAMA, IPSM dan sebagainya perlu diberikan penekanan bagi memastikan peningkatan pendapatan negara dalam sektor pertanian yang komprehensif, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Selain itu, kegiatan kartel yang selama ini menjadi lintah darat kepada pesawah sehingga memberikan kesan kepada masyarakat perlu ditangani sewajarnya.

“Pesawah kecil yang berpengalaman bertahun lamanya perlu diberikan peluang mengembangkan kreativiti dengan memberikan kursus dan dana untuk mereka menjadi pesawah moden,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kemungkinan dengan keupayaan pesawah itu, kartel beras dapat dikawal dan sebaiknya dihapuskan melalui ikatan undang-undang di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Dr. Mohamad Izwan yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra menyatakan, jika ditinjau dalam tempoh dua sebulan dua ini mendapati harga beras tempatan naik antara 13 dan 15 peratus di pasaran.

“Sebagai makanan ruji penduduk, kenaikan ini memberi tekanan susulan negara India menghentikan eksport yang kesan daripada faktor perubahan iklim selain dari kejatuhan nilai mata Malaysia.

“Beras import, mungkin pada dasarnya menjadi tumpuan kepada golongan M40 dan T20, manakala beras tempatan majoritinya dimakan oleh golongan B40.

“Namun, akibat kenaikan harga beras import, sebahagian M40 dan T20 telah beralih sementara atau kebanyakannya kekal kepada beras tempatan yang harganya jauh lebih rendah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast