SHAH ALAM – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa untuk hadir pada Majlis Makan Malam Yayasan Universiti Selangor (YUSEL) di I-City, di sini, malam ini.
Majlis yang berlangsung hampir dua jam tersebut turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) ,Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dalam ucapannya berkata majlis jamuan makan malam itu diadakan bagi meraikan Dr Wan Azizah sebagai penerima ijazah kehormat dan mengumpul dana bagi Tabung Yayasan Unisel.
Dr Wan Azizah menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik dan Kemasyarakatan bersempena Istiadat Konvokesyen Unisel Kali Ke-17 pada 9 Sept lalu di Dewan Canselor, Unisel Kampus Bestari Jaya.
Mohammad Redzuan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kesudian beliau hadir ke majlis tersebut yang merupakan kehadiran kali keenam Anwar ke program yang dianjurkan Unisel sejak 2018.
“Saya yakin Unisel adalah satu-satunya universiti di Malaysia yang paling kerap dikunjungi oleh beliau,” katanya. – BERNAMA