KUALA LUMPUR – Gubal Akta Kebebasan Maklumat dengan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

Itu antara perkara penting yang diputuskan atau secara prinsip dipersetujui secara bersama Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) di Parlimen yang sebelum ini dikenali sebagai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Parlimen hari ini.

Ia antara lain membincangkan komitmen negara untuk terus memperkasa tata kelola dalam sistem pentadbiran kerajaan, nescaya tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan kemampanan tata kelola, khususnya melalui dua anjakan utama iaitu tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah,” kata Anwar menerusi media sosialnya malam ini.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat juga mengambil maklum tentang 18 resolusi hasil daripada dua sesi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dan 2023 yang mengemukakan syor-syor penambahbaikan daripada sudut perundangan dan dasar berkaitan tata kelola, integriti serta antirasuah.

“Kerajaan akan terus melaksanakan usaha-usaha pemerkasaan tata kelola baik bagi menyokong pembangunan negara selaras hasrat untuk membangunkan Malaysia Madani,” tulisnya. – MalaysiaGazette