Himpunan Selamatkan Malaysia
Poster Himpunan Selamatkan Malaysia. Sumber: Facebook

RANCANGAN pembangkang untuk menganjurkan Himpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara Sabtu ini menyerlahkan sikap hipokrit mereka terutamanya dalam isu keputusan mahkamah melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tidak cukup dengan mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat setelah usul tergempar yang ingin dibawa oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung isu tersebut ditolak, mereka mahu mengheretnya ke jalanan pula.

Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) begitu galak menghentam kerajaan berhubung isu tersebut, seolah-olah ingin mewujudkan persepsi kononnya berlaku campur tangan dalam keputusan mahkamah.

Namun, di mana suara mereka apabila mahkamah pada 15 Ogos lalu melepas dan membebaskan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan rasuah membabitkan dana berjumlah RM232.5 juta?

Adakah pembangkang mengamalkan ‘kecaman terpilih’ di mana tidak mengapa dalam kes Muhyiddin tetapi dalam kes Ahmad Zahid tidak boleh pula?

Tidak pula kedengaran bantahan daripada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah terhadap Muhyiddin.

Terbukti PH dan BN bersikap matang serta berlapang dada dengan keputusan kes Muhyiddin tetapi pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Arau, Tan Sri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan reaksi yang sebaliknya terhadap kes Ahmad Zahid.

Himpunan yang difahamkan belum mendapat permit daripada pihak berkuasa itu juga akan dilangsungkan pada hari yang sama dengan sambutan Hari Malaysia.

Secara tidak langsung, tindakan pembangkang itu boleh mencemar semangat Hari Malaysia yang bertujuan meraikan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat di negara ini.

Rakyat memang sudah bosan dengan sikap pembangkang yang masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Kerajaan Perpaduan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong mempunyai keabsahan untuk mentadbir negara bagi penggal ini.

Mereka juga masih belum lupa dengan kesulitan yang dialami sewaktu pembangkang menganjurkan siri-siri himpunan Bersih di ibu negara dahulu.

Jalan-jalan utama terpaksa ditutup sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk malah operasi peniaga-peniaga kecil juga terjejas ketika perhimpunan diadakan.

Selain itu, berlaku insiden keganasan apabila peserta-peserta demonstrasi Bersih gagal mengawal emosi sehingga merosakkan kenderaan polis serta harta awam.

Kalau tidak berpuas hati dengan kerajaan sekali pun, banyak lagi saluran lain termasuk media sosial yang boleh digunakan untuk menyuarakan pandangan, asalkan tidak menyentuh isu sensitif dan menggugat ketenteraman awam.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), media juga semakin terbuka dan menyiarkan laporan yang seimbang antara parti pemerintah dan pembangkang.

Tambahan pula, PN dilihat lebih dominan di gelanggang media sosial terutamanya TikTok. Jadi, perlukah mereka berdemonstrasi di jalanan seperti pembangkang zaman dahulu? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. BILA DAH BUAT SALAH….MENGAKU TIDAK BERSALAH KEMUDIAN TUDING JARI PADA ORANG YANG TIDAK PUAS HATI DENGAN KEMUNAFIKAN

  2. Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan, amatlah sedikit kamu bersyukur. (Surah Al-A’raf, ayat 10)

Comments are closed.