KUALA LUMPUR – Lokasi Himpunan Selamatkan Malaysia anjuran pembangkang yang dijadualkan Sabtu ini diubah lokasi ke Kampung Baru, di sini.
Menurut Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat malam tadi.
“Himpunan yang akan turut dihadiri oleh pimpinan utama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan NGO bermula selepas solat zuhur di Masjid Kampung Baru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Bukit Bintang ditetapkan sebagai lokasi perhimpunan yang diadakan susulan keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu.
Difahamkan, perhimpunan tersebut setakat ini masih belum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan mana-mana perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak terbabit. – MalaysiaGazette