Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI – Johor akan berkembang maju sama seperti bandar Shenzhen, China hasil daripada Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura yang giat dibangunkan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, SEZ bukan perkara baharu kerana Shenzhen yang berjiran dengan Hong Kong telah membangunkan zon ekonomi dan berubah dalam tempoh empat dekat menjadi bandar ketiga terbesar di China.

“Dalam masa hanya empat dekad, Shenzhen telah berubah dari bandar kecil kepada bandar metropolis antarabangsa berteknologi tinggi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Shenzhen mencecah RM1.56 trilion (hampir AS$300 billion), mengatasi Hong Kong buat kali pertama pada 2018.

“Apa yang dicapai oleh Shenzhen, China membuktikan bahawa SEZ Johor-Singapura boleh membuahkan hasil yang terbaik untuk negeri Johor namun perkara ini pastinya memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak, kerajaan Singapura dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) mengenai status terkini rancangan mewujudkan SEZ Johor-Singapura pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini,hari ini.

Onn Hafiz (BN-Machap) berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong akan mengadakan pertemuan Pemukiman Pemimpin di Singapura pada Oktober ini.

Jelasnya, pertemuan itu akan disusuli dengan persetujuan Terms of Reference (TOR).-MalaysiaGazette