SUNGAI PETANI – Pasangan suami isteri maut selepas motosikal ditunggangi mereka melanggar belakang sebuah jip tentera di Kilometer (KM) 87.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Gurun di sini hari ini.
Kejadian kira-kira 2.20 petang itu turut menyebabkan motosikal dinaiki Ridzuan Salleh@Ramli, 42, dan isterinya, Rosmawati Ismail, 39, turut terbakar.
Ridzuan yang merupakan anggota tentera maut di tempat kejadian manakala Rosmawati yang membonceng dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Benelli TNT yang dinaiki pasangan itu dari Alor Setar ke Butterworth ditunggang dengan laju sehingga hilang kawalan.
Katanya, impak hilang kawalan menyebabkan mereka melanggar bahagian belakang jip tentera jenis Isuzu D-Max yang dinaiki dua anggota dari arah sama.
“Penunggang yang merupakan anggota tentera maut serta merta di tempat kejadian dengan kesan kecederaan melecur di bahagian badan.
“Pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah dan mayat kedua-duanya telah dibawa ke Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk tujuan post mortem,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, pemandu jip berusia 28 tahun dan penumpangnya berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette