Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI – Satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi mengkaji penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada Oktober ini semasa Leaders Retreat di Singapura yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim di republik itu.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dan kemudiannya akan disusuli dengan persetujuan Terms of Reference (TOR). Saya sesungguhnya rasa gembira dan teruja dengan perkembangan dan pengumuman ini kerana ia akan terus memperkukuhkan hubungan baik antara Johor dan Singapura untuk kemakmuran dan kemajuan bersama.

“Hari ini, Johor dan Singapura akan bekerjasama lebih erat dan saling melengkapi demi kebaikan rakyat di kedua-dua negara. Penubuhan SEZ ini bukan perkara yang baru. Kita mengambil contoh Shenzhen telah memutuskan untuk membangunkan Zon Ekonomi Khas tahun 1980,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang Tuan Chen Kah Eng mengenai status Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura pada Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-15, di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata, cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) yang melibatkan sempadan dua negara, Johor-Singapura ini bakal menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.

“Objektif kita adalah bagi memudahkan pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan antara dua negara ease of movement, ease of doing business.

“Di mana ianya akan meningkatkan nilai perdagangan, meningkatkan peluang pekerjaan, meningkatkan pelaburan dan pentadbiran yang lebih berkesan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast